27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 17, 2024

Lian Ker diingat tidak percikkan api perkauman

Mesti Baca

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Datuk Seri Ti Lian Ker agar tidak cuba memercikkan api perkauman membabitkan 3R (kaum, agama dan institusi raja).

Ini kerana, beliau yang juga Menteri Besar Pahang melihat, ucapan-ucapan bekas Naib Presiden MCA itu akhir-akhir ini seolah-olah sengaja mencari masalah.

Beliau tidak pasti sama ada luka Lian Ker masih berdarah melihat keakraban Kerajaan Perpaduan atau sengaja untuk mencari publisiti di ‘hujung nyawa’ politik beliau.

“Justeru saya pesan kepada Senator Ti, jangan cuba percik api perkauman dalam agenda yang melibatkan 3R (kaum, agama dan institusi raja). Jangan nampak terlalu terdesak, risau nanti tersedak,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya malam ini.

Sebelum ini, Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara meminta kerajaan tidak meneruskan Kongres Ekonomi Bumiputera bulan depan, sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.

Ujar bekas Naib Presiden MCA itu, sudah tiba masa Kongres Ekonomi Bumiputera tidak lagi ditunggang bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform pihak oportunis mengambil kesempatan.

Kata beliau, ia bukan langkah untuk menidakkan hak orang Melayu tetapi setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis Kongres Ekonomi Bumiputera bersiri-siri yang gagal mencapai matlamat.

Advertisements

Wan Rosdy berkata, kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu harus kuat dan stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi.

Katanya, sejarah telah membuktikan jika agenda Melayu dan kepentingan Melayu terkebelakang, maka kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara juga turut akan terjejas keseluruhannya.

“Mundur Melayu, mundur jua lah negara.

“Jadi, apa masalah kalau ada kongres yang membincangkan soal ekonomi orang Melayu? Ini untuk kepentingan nasional dan nikmatnya akan turut dikongsi oleh kaum-kaum lain, seperti yang dinikmati sekarang,” katanya.

Paling mustahak, kata Wan Rosdy, tidak ada halangan untuk mana-mana kaum pun di bumi Malaysia ini mengadakan kongres seperti ini.

Masyarakat Cina sebagai contoh, mempunyai banyak kongres dan perbincangan yang diadakan melalui pelbagai persatuan dan NGO yang berasaskan ekonomi, dan ia tidak langsung dijadikan isu, katanya.

“Malah saya sebagai Menteri Besar Pahang juga ada beri sumbangan khas Kerajaan Negeri kepada persatuan-persatuan ini,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MoU ditawar kerajaan Perpaduan tidak berperlembagaan – Muhyiddin

PERJANJIAN persefahaman (MoU) yang ditawarkan oleh kerajaan Perpaduan jelas tidak berperlembagaan malah bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan...

Lagi Artikel Berkaitan