26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

KKM siasat dakwaan kematian pesakit tidak terima rawatan tepat

Mesti Baca

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menyiasat dakwaan berhubung kematian seorang pesakit lelaki yang dikatakan tidak mendapat rawatan yang tepat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah, seperti yang ditularkan di media sosial, Khamis lalu.

HSAH dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak pengurusan hospital sudah memulakan siasatan berhubung kejadian pada Khamis dan memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara telus, mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“KKM mengambil maklum sebaran yang tular di media sosial pada Khamis lalu, berkenaan seorang pesakit yang dikatakan tidak mendapat rawatan yang tepat di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSAH, sehingga menyebabkan pesakit meninggal dunia.

“Perkara ini dianggap serius dan siasatan akan dijalankan untuk memastikan dakwaan terbabit benar ataupun tidak.

“Hasil siasatan hanya akan dimaklumkan kepada waris pesakit bagi mengawal kerahsiaan maklumat,” katanya.

Dalam kenyataan itu, HSAH turut memaklumkan pihak KKM juga tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapat rawatan di fasiliti itu.

Advertisements

“KKM ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan amat kesal dengan kejadian berkenaan.

“Menjadi keutamaan KKM untuk sentiasa memastikan keselamatan pesakit dan perkhidmatan pelanggan diberikan mengikut standard yang ditetapkan, tanpa mengabaikan hak pelanggan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran bertajuk ‘sakit jantung tapi bagi ubat gastrik, 5 jam kemudian beliau meninggal dunia!!’, yang dikatakan seorang pesakit berusia 51 tahun telah dibawa ke hospital berkenaan kira-kira jam 12.45 tengah malam selepas mengalami sesak nafas dan sakit dada.

Menurut hantaran itu, penolong pegawai perubatan hospital berkenaan yang melakukan pemeriksaan di wad kecemasan, didakwa memaklumkan pesakit mengalami gastrik dan diminta menunggu giliran untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun sehingga jam 4.30 pagi, pesakit itu masih tidak dirawat.

Pada jam 6 pagi, keadaan pesakit itu dikatakan tenat dan sudah dibawa ke Zon Merah wad kecemasan itu, sebelum meninggal dunia pada jam 6.31 pagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan