PENERIMA Anugerah Pelajaran Diraja, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Isyraq Husaini Muliadi menganggap kehilangan bapa tersayang menyebabkan dia bangkit untuk mencipta kecemerlangan dalam pelajaran.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh Fatwa itu berkata, kematian bapanya pada 28 Oktober 2020 yang dianggap detik hitam pertama dalam hidupnya, rupanya menjadi sinar yang menyedarkan dia untuk lebih berjaya.
“28 Oktober 2020 merupakan detik hitam pertama dalam kehidupuan saya apabila ayah pergi buat selamanya. Namun, itulah permulaan kepada saya untuk bangkit dan berusaha dan terus bergerak
maju ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah tersebut sempena Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 di Dewan Tunku Canselor di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Muhammad Isyraq yang berasal dari Pontian, Johor itu berkata, dia yakin kehilangan orang tersayang yang diaturkan oleh Allah SWT bukanlah satu alasan untuk beliau terus meratapi nasib dan kesedihan.
Sebaliknya, tegasnya, Allah sedang mengajar dia bahawa dalam dunia ini tidak semua yang kita inginkan akan dapat dikecapi.
Seorang lagi penerima Anugeran Pelajaran Diraja, Aufa Abdullah berkata, ibu bapanya merupakan sumber utama kekuatan untuk dia berjaya sehingga mendapat anugerah tersebut.
“Saya bukanlah datang dari keluarga yang senang dan berpendidikan tinggi. Ayah dan ibu hanyalah peniaga kuih di jalanan.
“Semasa pandemik Covid-19, saya berpeluang berada di sisi keluarga membantu mereka menjual kuih pada setiap petang di samping meyiapkan tugasan akademik dan tugasan persatuan secara dalam talian,” katanya.
Sehubungan itu, dia mendedikasikan anugerah tersebut buat ibu bapanya yang telah banyak mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi kejayaan tersebut.
“Saya masih ingat lagi ibu dan bapa menghantar saya ke kampus barakah ini dengan hanya
menaiki pengangkutan awam dan asbab itulah menjadi pembakar semangat untuk saya
mengharungi liku kehidupan sehingga berjaya pada hari ini,” katanya.
Muhammad Isyraq dan Aufa masing-masing menerima Pingat Jaya Cemerlang, sijil dan wang tunai berjumlah RM7,500 seorang daripada Lembaga Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-Raja Dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri. – Muhammad Zaid Kamarul Zaman (Pelajar USIM) / Edisi 9