27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Gen-Z: Antara tekanan akademik dan dunia palsu media sosial

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh MUHAMMAD ALIF NAJMI RIZUAN

GENERASI Z (Gen-Z) iaitu individu yang lahir pada pertengahan tahun 1990-an sehingga awal 2000-an, sering dilabel sebagai “generasi lemah mental” dalam perbincangan awam.

Namun, adakah stigma ini benar benar berlaku? Untuk menjawab persoalan tersebut, mari kita mengupas isu ini dengan lebih mendalam.

Laporan yang diterbitkan oleh Persatuan Psikologi Amerika (APA) secara meyakinkan menyokong pandangan bahawa Gen-Z menghadapi beban tekanan yang jauh lebih berat berbanding generasi sebelum mereka.

Data yang dikumpulkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula mengesahkan terdapat 12.3 peratus daripada remaja berumur antara 10 hingga 17 tahun yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang menghadapi cabaran serius dalam aspek kesihatan mental dan berisiko tinggi untuk mengambil tindakan drastik seperti membunuh diri.

Fenomena ini mengajak kita mencari jawapan kepada persoalan yang timbul iaitu mengapakah perkara ini boleh dan kerap berlaku dalam kalangan mereka?

Dalam konteks ini, salah satu faktor yang perlu diberi perhatian adalah tekanan akademik. Mereka dididik untuk sentiasa mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Walaupun tekanan boleh menjadi pemacu positif dalam mencapai matlamat, ia boleh berubah menjadi impak yang negatif jika dibiarkan mencapai tahap berlebihan.

Tekanan yang berterusan yang dikenakan terhadap remaja boleh menyebabkan mereka terjerumus ke dalam beberapa perbuatan yang akan merugikan mereka sendiri.

Contohnya mereka sanggup menipu dalam peperiksaan semata-mata ingin mendapatkan keputusan cemerlang sepertimana yang diharapkan terutama oleh ibu bapa.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk memahami bahawa tekanan akademik yang berlebihan dapat menjadi punca masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja, dan tindakan segera perlu diambil untuk mengurangkan kesan negatifnya.

Advertisements

Selain itu, kita tidak boleh meremehkan implikasi negatif yang timbul daripada ‘kehidupan’ yang terhidang dalam media sosial berbanding realiti hidup.

Ini bukan sekadar isu penyebaran maklumat palsu yang berpotensi merosakkan kesihatan mental, tetapi juga keinginan mencapai kehidupan ideal yang mereka lihat dalam dunia maya, yang seringkali menjadi faktor utama permasalahan ini.

Perbandingan ini sering terjadi apabila Gen-Z ini melihat rakan sebaya mereka mencapai kejayaan atau kebahagiaan yang tampaknya melampaui pencapaian mereka sendiri.

Akibatnya, kesan-kesan negatif yang mula muncul, seperti masalah gangguan sosial, penurunan prestasi akademik dan masalah gangguan tidur yang tidak teratur.

Perkara ini mengingatkan kita bahawa kita perlu lebih berwaspada terhadap kesan negatif media sosial dalam kehidupan Gen-Z pada hari ini.

Bukan sahaja isu penyebaran maklumat palsu yang berpotensi merosakkan kesejahteraan mental, tetapi juga isu perbandingan yang membawa kepada tekanan sosial, yang mempengaruhi kualiti kehidupan dan perkembangan generasi muda ini secara besar-besaran.

Penting diingat bahawa isu kesejahteraan mental dalam kalangan remaja bukanlah sekadar cerita dongeng tetapi sebuah realiti yang menuntut perhatian serius daripada setiap lapisan masyarakat.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan bersama untuk kita membanteras perkara-perkara yang semakin merosakkan kesihatan mental anak muda .

Akhir sekali, kita harus memahami bahawa tanggungjawab ini melebar kepada semua generasi, kerana hanya dengan bersama-sama kita dapat mencipta perubahan positif yang berkekalan dalam masyarakat kita.

Dengan memahami bahawa isu kesejahteraan mental bukanlah isu sepele, kita dapat bersatu sebagai satu komuniti untuk melindungi dan membina masa depan yang lebih baik bagi generasi seterusnya.


Penulis adalah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9. - Editor
Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan