26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Fadhlina ajak ibu bapa sumbang idea untuk perkasa kurikulum

Mesti Baca

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini mengajak para ibu bapa dan golongan pendidik agar turun padang bagi memberikan sumbangan idea dalam usaha memperkasa Kurikulum Persekolahan 2027 yang sedang disusun.

Untuk itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan Jelajah Pendidikan Masa Hadapan tidak lama lagi bagi tujuan tersebut.

Pada masa kini katanya, kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 belum dimuktamadkan tetapi intipati utama, gerak kerja dan pemilihan teori pembelajaran telah disepakati di peringkat KPM.

“Selanjutnya ialah fasa untuk memperincikan kerangka tersebut dan usaha ini memerlukan sumbang saran serta buah fikiran pemegang taruh pendidikan agar kurikulum baharu ini akan lebih saksama, holistik dan realistik.

“Oleh yang demikian, saya mengajak rakyat Malaysia, sama ada ibu, bapa atau pendidik untuk turun padang dan menyumbang idea dalam program Jelajah Pendidikan Masa Hadapan yang akan diadakan kelak,” katanya hari ini.

Advertisements

Sebelum itu beliau menghadiri program Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027 di Putrajaya.

Fadhlina berkata, kurikulum merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang akan menentukan corak generasi pada masa hadapan.

Sehubungan itu, katanya, dalam mendepani era pascanormal dan merancang pendidikan masa hadapan, pembinaan kurikulum yang fleksibel, relevan dan kontekstual amatlah penting supaya aspirasi budaya pembelajaran tercapai.

Katanya, pembinaan kurikulum hendaklah berpaksikan karamah insaniah, yakni menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti serta bertunjangkan Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Selain itu, pemetaan kerangka kurikulum baharu ini juga berpandukan dasar-dasar berkaitan pendidikan seperti Dasar Pendidikan Digital agar kesinambungan inisiatif terpelihara,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan