PELUMBA cilik, Maleeq Dragster mencipta sejarah apabila menjadi kanak-kanak Malaysia pertama yang berjaya membawa pulang trofi kejuaraan RCS Championship Series Japan musim ke-12, baru-baru ini.
Maleeq atau nama penuhnya, Wan Ayden Maleeq Wan Mohd Muzri, 4, berjaya menewaskan pelumba-pelumba dari negara lain antaranya China, Jepun, Thailand dan beberapa lagi di kejohanan yang berlangsung di Tokyo Summerland, Jepun.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Sri Wan Mohd Muzri Ramli yang juga bapa kepada Maleeq berkata, kejayaan Maleeq adalah satu kebanggaan negara dan hasil latihan serta keringat kanak-kanak itu tanpa henti.
“Syukur Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Kejayaan Maleeq mencipta sejarah pelumba pertama malaysia menjuarai RCS di Jepun sesuatu yang sukar untuk luahkan. Kami semua menangis kegembiraan.
“Kejayaan ini membawa kegembiraan dan kepuasaan seorang ayah melihat kejayaan anaknya berlumba dan seterusnya mengharumkan nama negara.
“Maleeq membuktikan dia tidak putus asa dan berusaha menjadi yang terbaik di Jepun,” katanya.
Lebih membanggakan, Maleeq yang juga naib juara bagi RCS Championship Series Japan musim ke-11 itu turut berjaya merangkul Anugerah Top 6 dalam kejohanan sama bagi kategori kanak-kanak berusia empat tahun.
Kedudukan tempat kedua bagi kejohanan itu diraih pelumba dari China, Kang Minghao manakala wakil tuan rumah, Towa merangkul tempat ketiga.
Dalam pada itu, Wan Mohd Muzri berkata, Maleeq menjalani latihan intensif di M8 Training Centre empat kali semingu dan sentiasa memastikan stamina kekal di paras terbaik dengan pelbagai aktiviti di rumah.
“Sebagai ibu bapa, kami yang merancang latihan dan strategi terbaik untuk persiapan anak-anak. Tanpa usaha dan pengorbanan tidak mampu kita ukir kejayaan.
“Untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Jepun, kami berlatih bersama team M8 Japan dan Lino Keiki.
“Membawa nama Malaysia dan nama pasukan M8 Malaysia ke peringkat lebih tinggi satu tanggungjawab yang besar.
“Untuk berada sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai RCS di Jepan menjadi satu harapan dan semangat yang kuat perlu ada dalam diri,” katanya lagi.
Untuk info, 2022 juga adalah tahun gemilang Maleeq apabila menjadi juara untuk sederetan pertandingan apabila meraih kejuaraan hattrick di Pushbike Grand Prix 2022, KPBY Championship 2022, Garuda Championship 2022, Race with Loversary (IBCC) 2022 dan Independent Race (IBCC) 2202.
Maleeq juga turut menakluk gelanggang di Thailand apabila bergelar juara di Racing Central Bangna, Bangkok, Thailand.
Kanak-kanak itu terus bertaring garang di Vietnam dan kemudian diangkat sebagai juara di Centrebike Bike Cup tahun lalu.
Maleeq juga berjaya mengekalkan kejuaraan di Rockfish Championship Thailand tahun ini dan M8 International Pushbike Series 2023. -Edisi 9