SIAPA sangka perjalanan seni penyanyi cantik bersuara lunak ini sudah pun menjangkau 15 tahun lamanya, berbekalkan semangat dan cintanya terhadap bidang nyanyian, Indah Ruhaila, 36, kembali menghadiahkan single terbaharu yang dinanti-nantikan peminatnya berjudul ‘Indah’.
Lagu itu hasil ciptaan komposer tanah air, Firdaus Rahmat, manakala diterbitkan oleh label hiburan terkenal Rocketfuel Entertainment.
“Alhamdulillah, saya masih lagi giat memperjuangkan bakat yang dikurniakan Tuhan dan masih lagi aktif menerima undangan nyanyian di sana sini.
“Syukur di atas kelahiran single terbaharu ini dan yang pertama seumpamanya di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, saya berasa terharu bercampur gembira kerana sudah lama tidak muncul dengan mana-mana lagu baharu.
“Secara jujurnya, saya agak memilih dalam penghasilan sesebuah karya kerana hendak pastikan ianya betul-betul bermutu, menepati citarasa saya dan yang paling penting, dapat menarik perhatian halwa telinga peminat dan juga pendengar di luar sana,” katanya.
Pemilik nama sebenar Siti Ruhailah Hussein itu berkata, lagu Indah adalah buah fikirannya sendiri yang mahukan kelainan dalam komposisi melodinya dan seakan transformasi bagi dirinya sebagai penyanyi berpengalaman dan lebih matang dalam berkarya.
Ditanya apakah maksud single ini buat dirinya, Indah berkata, jalan cerita lagu ini datang darinya sendiri selepas berbincang dengan komposer Firdaus Rahmat.
“Hasilnya, sebuah karya yang lain dari lain serta kedengaran sedikit ‘fresh’ dan lebih kepada ‘feel’ masa kini.
“Ia menceritakan tentang kemampuan seorang wanita yang pasti beroleh kebahagiaan jika mereka mencintai diri sendiri dahulu, kiranya seperti ‘self-love’, seterusnya perasaan ‘indah’ itu akan datang dengan sendirinya,” katanya.
Single Indah berjaya dirakamkan dalam masa 2 jam sahaja di Studio World Peace, dan kali pertama mendengarnya, pendengar pasti terhibur dengan karya bernuansa pop dansa ini kerana ada patah di dalamnya yang dinyanyikan secara rap oleh Indah sendiri, menyuntik elemen kelainan yang dimahukan selain menjadikannya lebih ‘tersendiri’.
“Selepas sekian lama saya tidak hadir dengan mana-mana lagu baharu, saya anggap ini sebagai hadiah melepaskan kerinduan peminat yang sudah lama menunggu, serta jangan lupa menyaksikan MV Indah di YouTube nanti yang berkonsep minimalis dengan elemen yang ‘indah-indah’ sahaja.
“Saya berharap supaya lagu ini dapat diterima oleh semua, terutamanya peminat saya dan pelbagai penggemar muzik tanah air, tidak mengira peringkat umur,” katanya. -Edisi 9