32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Tipu umrah: Kelayakan agensi pelancongan disemak semula

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membuat penelitian dan semakan semula kelayakan semua syarikat agensi pelancongan khususnya yang menjalankan perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini susulan insiden penipuan pakej umrah dilakukan oleh segelintir syarikat agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan tersebut walaupun tindakan tegas telah diambil terhadap syarikat-syarikat terbabit.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan untuk mengetuai jawatankuasa semakan tersebut.

Katanya, jawatankuasa itu akan membentangkan laporan lengkap dalam tempoh sebulan, termasuk mengkategorikan syarikat yang benar-benar menjalankan perniagaan dengan baik dan sebaliknya.

“Saya juga mahu laporan terperinci mengenai rekod syarikat-syarikat ini sepanjang menguruskan jemaah umrah. Ini bagi memastikan syarikat agensi pelancongan lebih bertanggungjawab semasa menjalankan perniagaan dan tidak sesekali mengabaikan pelanggan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

King Sing berkata, sehingga kini masih ada ejen-ejen syarikat pelancongan yang degil dengan mempromosikan pakej-pakej umrah tetapi tidak melaksanakannya.

Katanya, sebelum ini terdapat aduan dan keluhan orang ramai khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan segelintir syarikat agensi pelancongan pengurusaan umrah yang tidak bertanggungjawab.

Tambah beliau, terdapat jemaah umrah yang tidak dibawa ke destinasi-destinasi atau diberikan perkhidmatan yang sepatutnya, seperti yang ditawarkan oleh syarikat agensi pelancongan berkenaan.

Lebih malang, tambah beliau, jemaah umrah terbabit gagal menghubungi syarikat agensi pelancongan berkenaan apabila mereka tiba di lapangan terbang di Arab Saudi.

Advertisements

“Syarikat agensi pelancongan ini secara tidak berhati perut melepaskan tangan sehingga mengecewakan pelanggan mereka.

Pada masa yang sama, King Sing berkata, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi untuk membincangkan tentang kuota umrah.

Katanya, sekiranya diberi amanah, MOTAC akan menubuhkan jawatankuasa diketuai Khairul Firdaus untuk menguruskan perkara tersebut daripada diberikan secara terus kepada syarikat agensi pelancongan.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan proses jemaah umrah dari negara ini dapat berjalan dengan lebih lancar, telus dan bertanggungjawab serta memastikan kejadian sama khususnya membabitkan penipuan tidak berulang di masa hadapan.

“MOTAC juga akan menyelesaikan beberapa isu lain seperti harga dan prosedur permohonan boleh dibuat melalui MOTAC, sebelum MOTAC menyerahkannya kepada agensi-agensi pelancongan yang bertanggungjawab.

“Selain dapat menjimatkan kos yang tidak perlu dikenakan kepada pelanggan, ia juga dapat membantu menyelesaikan semua perkara secara bersekali,” katanya.

King Sing berkata, semua syarikat agensi pelancongan sama ada yang telah lama beroperasi mahupun syarikat baharu, perlu melaporkan setiap aktiviti berkaitan pelanggan mereka sepanjang perjalanan mengerjakan umrah kepada MOTAC.

Katanya, ini bagi membolehkan MOTAC memantau secara dekat dan memastikan segala janji yang ditawarkan kepada pelanggan mereka dikotakan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

CTOS sumbang RM30,000 biayai pelajar kurang bernasib baik

CTOS Digital Berhad telah menyumbang sebanyak RM30,000 untuk dana biasiswa bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Ampang, Selangor...

Lagi Artikel Berkaitan