SEORANG mangsa bot terbalik ditemui selamat selama hampir lima jam sebelum diselamatkan nelayan tempatan kira-kira 70 meter (m) dari Pulau Tokong Burung, Kuching, Sarawak, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md. Yunus berkata, mangsa Atar Akil keluar menangkap ikan sebelum bot gentian kacanya terbalik dipukul ombak.
Ujar beliau, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima aduan pada pukul 11.45 pagi sebelum Op. Carilamat diaktifkan dan Bot Penyelamat 8 telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Mangsa telah diselamatkan oleh nelayan tempatan pada jarak 70m dari Pulau Tokong Burung pada pukul 3.15 petang setelah lima jam berapung di laut.
“Susulan itu, mangsa dibawa ke Jeti Telaga Air dan diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya menerusi Facebook, malam tadi.
Beliau berkata, misi pencarian mangsa turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak, KKM dan penduduk Kampung Telaga Air.
Katanya, Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada komuniti nelayan yang berusaha membantu menyelamatkan mangsa walaupun keadaan laut tidak begitu baik ketika usaha Op. Carilamat dijalankan.
“Orang ramai khususnya komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut dan mengutamakan keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan ketika di laut,” katanya. – Edisi 9