26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Polis terima 19 laporan ancaman bom palsu di seluruh negara

Mesti Baca

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 19 laporan berhubung ancaman bom palsu di beberapa buah sekolah di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman itu telah dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama ‘taktstorer’ dari bahasa Jerman bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan emel Beeble.com.

“Kita menerima tujuh laporan di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan satu laporan di Perak serta Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Razarudin berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penerimaan e-mel ancaman, PDRM dengan kerjasama sekolah yang terbabit segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis.

“Demi keselamatan, pengungsian (evacuation) pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan segera oleh pihak sekolah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke lokasi berkumpul (assembly points) seperti ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan beredar pulang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan security flushing (pembersihan keselamatan) bom telah dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi yang terbabit, namun tiada sebarang ancaman yang dikesan.

“Siasatan mendapati e-mel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa.

“Siasatan menunjukkan kedua-dua alamat e-mel yang digunakan bagi menghantar ancaman, baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet,” katanya.

Advertisements

Razarudin berkata, kandungan asal e-mel ancaman adalah dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia menggunakan aplikasi penterjemah.

“Kandungan e-mel yang sama dikesan turut pernah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November lalu, juga melalui penyedia perkhidmatan e-mel yang sama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut menjurus sama ada insiden di Malaysia, mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica.

“Ia dipercayai didalangi seorang individu bermasalah mungkin pernah mengalami penderaan ketika kanak-kanak dan kurang perhatian, namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya,” katanya.

Razarudin berkata, kes disiasat bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan kita akan mengambil tindakan segera bagi menyiasat sebarang ancaman.

“PDRM memberi kepastian bahawa tahap keselamatan pelajar serta guru-guru adalah terjamin di seluruh negara,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan