26.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

PM tiba di Riyadh hadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Riyadh, Arab Saudi hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, terletak kira-kira 35 kilometer (km) utara Riyadh pada 12 tengah hari (5 petang waktu Malaysia).

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi Malaysia termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil disambut oleh Timbalan Gabenor Riyadh Putera Muhammad bin Abdulrahman bin Abdul Aziz.

Turut berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Anwar ialah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isteri Datin Zuhaila Abd Latiff.

Setibanya di hotel penginapan di Riyadh, Anwar dan delegasi disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Advertisements

Pemimpin dan delegasi daripada negara anggota OIC akan berkumpul pada sidang kemuncak itu yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Sebelum sidang kemuncak itu, dua mesyuarat persediaan diadakan iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan OIC (SOM) pada 9 Nov dan Mesyuarat Peringkat Menteri OIC pada 10 Nov, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar semalam.

Perhimpunan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz, Riyadh susulan penglibatan meluas Anwar dengan beberapa pemimpin OIC mengenai isu Palestin dan pencerobohan tentera Israel yang berlarutan.

Semasa sidang kemuncak itu, Anwar akan sekali lagi menyatakan pendirian tidak berbelah bahagi Malaysia berhubung keperluan penting untuk menghentikan tindakan pembunuhan kejam oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan muktamad dan selama-lamanya.

Krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza itu memerlukan perhatian segera dan Perdana Menteri akan menyokong negara anggota OIC dan komuniti antarabangsa untuk menangani kesusahan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agamawan perlu hormati bidang kepakaran dan autoriti hukum

Oleh PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI MUTAKHIR ini timbul pelbagai isu berkaitan persoalan hukum dan melibatkan para agamawan. Para agamawan...

Lagi Artikel Berkaitan