30.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

PM dijangka nyata pendirian kerajaan RUU AS sekat pihak sokong Hamas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyatakan pendirian kerajaan di Dewan Rakyat hari ini berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) mengenai RUU itu yang mengenakan sekatan terhadap pihak luar menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

Terdahulu Dewan Perwakilan AS pada 2 November lalu meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.

RUU bertajuk Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan oleh majoriti 363 berbanding 46 yang menentang.

Daripada 46 penentang itu, ia terdiri daripada 45 Demokrat dan seorang Republikan.

Seterusnya, RUU itu akan dibawa ke Senat.

Inisiatif dwipartisan (dua parti atau kumpulan politik yang berlainan) diketuai oleh Brian Mast (Republikan-Florida) dan Josh Gottheimer (Demokrat-New Jersey).

Advertisements

Perundangan itu memerlukan Presiden menyerahkan kepada Kongres laporan tahunan untuk tiga tahun akan datang yang mengenal pasti individu, agensi atau peralatan negara asing yang secara sedar dan material membantu Hamas, Jihad Islam, atau ahli gabungan atau pengganti salah satu organisasi terbabit.

Selain itu, Anwar dijangka menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai jumlah yang dibelanjakan kerajaan untuk promosi dan publisiti menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.

Pada sesi soal jawab, Ronald Kiandee (PN-Beluran) dijangka meminta menteri dalam negeri menyatakan status terkini Eastern Sabah Security Command (Esscom) dan usaha mempertingkatkan keupayaan aset serta tahap penguatkuasaan bagi keselamatan sempadan.

Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula dijadual bertanyakan menteri perpaduan negara sama ada Akta Hasutan dan Akta Komunikasi mencukupi dalam menghadapi isu 3R atau kerajaan berhasrat memperkenalkan RUU baharu berkaitan keharmonian kaum.

Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan 2024 pada peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU pada peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 Nov ini.

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari sejak 9 Oktober lepas. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan