AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan 74 cubaan menyeludup masuk 277 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, jumlah tersebut menunjukkan tren peningkatan berbanding 51 kes melibatkan penyeludupan 413 PATI tahun lalu.
“Berdasarkan kepada data berkenaan, jelas menunjukkan kesiapsiagaan Maritim Malaysia berada pada tahap yang optimum dan terbaik dalam memastikan perairan negara selamat.
“Tidakan tegas akan diambil dalam memastikan tiada sebarang aktiviti berkenaan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan perairan negara.
“Maritim Malaysia komited mengekalkan keselamatan negara daripada ancaman terbabit dengan mengambil tindakan tegas serta terancang bagi memastikan keselamatan perairan negara dan kesejahteraan rakyat terjaga,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Hamid berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan khususnya di kawasan sempadan perairan negara selain memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan yang lain.
Katanya, ianya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Imigresen (JIM).
“Ini termasuk pihak berkuasa tempatan serta pihak berkuasa negara jiran untuk memantau dan mengawal pergerakan yang mencurigakan daripada memasuki ke Zon Maritim Malaysia,” katanya. – Edisi 9

