26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Keuntungan bersih Hap Seng catat penurunan lebih 90 peratus

Mesti Baca

HAP Seng Consolidated Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 91 peratus kepada RM50.3 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 daripada RM563.75 juta pada tahun lalu.

Perolehan susut 22 peratus kepada RM1.54 bilion daripada RM1.97 bilion berikutan perolehan yang rendah daripada semua bahagian kecuali bahagian pembiayaan kredit dan bahan binaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, katanya keuntungan operasi berkurangan 31 peratus kepada RM172.6 juta berikutan sumbangan keuntungan yang rendah daripada segmen hartanah, pembiayaan kredit, automotif dan perdagangan tetapi diimbangi oleh sumbangan keuntungan yang tinggi daripada bahagian perladangan dan bahan binaan.

Hap Seng berkata, bahagian bahan binaan menyaksikan perolehan naik 33 peratus kepada RM256.6 juta daripada RM192.3 juta pada suku tahun sama pada tahun sebelumnya dengan sumbangan yang tinggi daripada Hafary Holdings Ltd yang disenaraikan di Singapura serta perniagaan kuari, asfalt dan batu bata.

“Perolehan Hafary meningkat 40 peratus daripada suku tahun sama pada tahun sebelumnya, mendapat manfaat daripada jualan projek dan sektor am yang tinggi sejajar dengan sektor pembinaan dan pengubahsuaian yang aktif di Singapura, serta sumbangan daripada operasi di Malaysia berikutan penyusunan semula perniagaan jubin daripada bahagian bahan binaan.

“Perolehan daripada perniagaan kuari, asfalt dan batu bata naik 12 peratus didorong oleh jumlah jualan yang tinggi dan purata harga jualan produk agregat yang lebih baik di kedua-dua pasarannya di Malaysia dan Singapura.

“Perolehan bahagian pembiayaan kredit terjejas sedikit untuk mengakhiri suku tahun itu pada RM57.1 juta daripada RM57.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022,” katanya.

Bagaimanapun, asas pinjaman pada akhir suku tahun semasa merosot 12 peratus kepada RM2.53 bilion, didorong oleh pembayaran yang rendah dan penjualan operasi Manchester di United Kingdom melalui HS Credit (Manchester) Ltd.

“Perolehan bahagian perladangan pada suku ketiga tahun kewangan 2023 berkurangan 10 peratus kepada RM164.6 juta, berikutan purata harga jualan yang rendah tetapi diimbangi oleh jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi kepada 36,726 tan, melebihi 18 peratus daripada tempoh sama pada tahun lalu.

“Jumlah jualan isirung sawit (PK) meningkat 25 peratus kepada 8,167 tan, yang mendapat manfaat daripada pengeluaran yang tinggi.

“Purata harga jualan MSM dan PK, masing-masing sebanyak RM3,924 satu tan dan RM2,142 satu tan, kedua-duanya lebih rendah daripada suku tahun sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM5,219 satu tan untuk MSM dan RM2,543 satu tan untuk PK,” katanya lagi.

Advertisements

Bahagian itu turut mendapat manfaat daripada keuntungan daripada pelarasan nilai saksama aset biologi sebanyak RM15 juta berbanding kerugian sebanyak RM24.2 juta.

Sementara itu, perolehan untuk segmen hartanah merosot 12 peratus kepada RM128.8 juta berikutan jualan yang rendah terutamanya dalam projek di Malaysia Timur dan Semenanjung.

Hap Seng berkata, perolehan bahagian automotif pada suku tahun terbabit susut 33 peratus kepada RM315.6 juta, terjejas oleh jualan yang rendah daripada segmen kereta penumpang dan kenderaan komersial.

Sebagai perbandingan, perolehan untuk unit perdagangan berkurangan 30 peratus kepada RM726.9 juta dengan perolehan yang rendah daripada perniagaan baja dan perdagangan amnya.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih merosot kepada RM762.96 juta daripada RM852.63 juta dengan perolehan sebanyak RM4.78 bilion, berkurangan daripada RM5.32 bilion sebelum ini.

Menurut kumpulan itu, berdasarkan perkara di atas, ia optimis secara berhati-hati untuk mencapai keputusan kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ia menjangka perniagaan kuari, asfalt dan batu bata akan terus mendapat manfaat daripada projek-projek utama yang sedang dijalankan di Malaysia Timur dan Brunei.

Di Singapura, Hafary dijangka mendapat manfaat daripada pasaran jualan semula hartanah kediaman yang dijangka kekal stabil pada suku keempat tahun ini dan pelancaran flat bina ikut tempahan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan.

“Bahagian pembiayaan kredit kekal berhati-hati dalam kelulusan pinjaman baharu berikutan ia menjangka keadaan ekonomi yang kekal mencabar berdasarkan kadar faedah yang tinggi, tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi dalam sektor pembiayaannya.

“Bahagian itu akan sentiasa mengkaji dasar pemberian pinjamannya untuk mengurus risiko operasi dan berwaspada terhadap perubahan dalam landskap ekonomi dan pembiayaan yang menyelubungi perniagaannya,” katanya.

Dengan kos pengeluaran dijangka kekal tinggi disebabkan tekanan inflasi serta harga baja, diesel dan bahan input lain yang tinggi selain kos buruh yang tinggi, kumpulan itu berkata segmen perladangan akan meneruskan usaha bersepadu untuk meningkatkan kecekapan secara keseluruhan dan mengamalkan penternakan ladang yang baik untuk meningkatkan hasil bagi mengurangkan kos pengeluaran unit. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lakukan ‘total cleansing’ kumpulan ajaran sesat, ekstrem agama

PIHAK berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa melakukan total cleansing (sapu bersih) terhadap kumpulan ajaran sesat dan...

Lagi Artikel Berkaitan