TOKOH Perbankan Negara, Tan Sri Azman Hashim menerima Ijazah Kehormat Doktor Kewangan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47, semalam.
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM dalam satu kenyataan berkata, Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah kehormat kepada tokoh perbankan berkenaan.
“Azman adalah Pengerusi Emeritus merangkap Penasihat Kehormat Kumpulan Ambank dan pengerusi beberapa badan lain antaranya Perdana Leadership Foundation, East Asia Business Council (EABC), Malaysia-Japan Economic Association (MAJECA) Friends of Prison Association dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO).
“Sumbangan Azman yang juga dikenali sebagai seorang filantropi korporat yang bersifat dermawan bagi melonjakkan industri pengajian tinggi antaranya penubuhan Yayasan Azman yang aktif menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan kewangan kepada pelbagai golongan penerima,” katanya.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan, Azman juga telah menerima pelbagai anugerah dari serata dunia iaitu Asia’s Banker of the Year pada 1985 oleh ASEAN Finance, dianugerahkan The Order of The Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon oleh Maharaja Jepun pada 1987.
“Beliau turut menerima The Oder of Australia oleh Gabenor Jeneral Komanwel Australia pada Julai 2008.
“Pada 2009, beliau mendapat anugerah “Lifetime Achievement Award” semasa 4th Annual Islamic Business and Finance Awards di Dubai,” katanya.
Katanya, pada 2016 Azman diberikan ‘Islamic Finance Pioneering Initiative Award’ oleh Islamic Banking Finance Institute Malaysia dan menerima anugerah The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Maharaja Jepun pada 2021.
“Pada 2022 beliau juga dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan 1444H/2022M,” katanya.
Sementara itu, Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Prof Dr Bany Ariffin Amin Noordin dalam kenyataan berkenaan berkata, pemilihan beliau adalah tepat dan berharap dapat menjalinkan hubungan sinergi bersama industri untuk bertukar pandangan yang boleh dimanfaatkan kepada pelajar dan pensyarah.
“Berdasarkan ilmu kewangan serta pencapaian beliau ianya boleh dimanfaat kepada warga kampus sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik serta berkemahiran tinggi,” katanya. -Edisi 9

