27.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 13, 2024

Yuran tidak lebih RM1,500 relevan dengan kebajikan pelajar miskin

Mesti Baca

HAD yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1,500, bermula Januari 2024 adalah relevan dengan kebajikan pelajar miskin.

Ia sekali gus diharap dapat memberikan semangat baharu kepada golongan terbabit menyambung semula pengajian.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata langkah kerajaan itu yang diumumkan melalui Belanjawan 2024 kelmarin akan meluaskan lagi peluang pelajar tidak berkemampuan untuk memulakan pengajian.

“UPM menyambut baik hasrat kerajaan menangguhkan bayaran yuran pengajian golongan ini dan tidak menyekat mereka yang belum mampu membayar yuran bagi meneruskan pengajian atau mengambil peperiksaan.

“Semoga dengan langkah ini, pelajar susah yang tidak berhasrat menyambung pengajian kerana ingin menyara keluarga dan mereka yang susah dari pedalaman akan mendapat semangat baru.

“Kita juga setuju peraturan pembayaran oleh universiti harus mengambil kira kebajikan pelajar seperti yang dihasratkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen, mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM16.3 bilion bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain itu, bermula Januari 2024, yuran pendaftaran memasuki universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 malah pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat daripada mendaftar subjek pada setiap semester dengan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

Advertisements

Ahmad Farhan berkata, UPM tidak mempunyai masalah menyambut hasrat kerajaan untuk memperkasakan kebajikan pelajar universiti kerana Bahagian Hal Ehwal Pelajarnya sudah melaksanakan langkah kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan selama ini.

“Melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM juga turut memberi pelbagai bantuan kepada golongan pelajar susah, asnaf, dan B40 yang layak menerusi tabung kebajikan pelajar wakaf, zakat, dan dana sumbangan (endowmen) untuk meringankan beban mereka.

“UPM turut aktif mengumpul dan menyalurkan sumbangan dan derma daripada pihak luar atau penaja kepada golongan B40 yang layak,” katanya.

Beliau berkata, UPM juga terbabit dengan bantuan Program Dermasiswa Sulong yang disarankan KPT untuk membiayai pendidikan generasi pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti.

Mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk Program Pemulihan Dalam Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), beliau berkata, langkah itu juga akan meningkatkan jumlah pelajar kategori terbabit masuk ke universiti.

“UPM menyediakan kerangka kukuh dalam menyokong komuniti OKU seperti Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU, Dasar Inklusif OKU 2020, Jawatankuasa Kampus Inklusif OKU, Audit MyU OKU dan Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU.

“Selain itu kita ada ‘komuniti’ yang sentiasa mengambil berat pelajar OKU, elaun khas OKU, masa tambahan bagi pembelajaran, menyokong erat Persatuan Mahasiswa OKU untuk pemerkasaan mahasiswa kategori itu,” katanya.

Ahmad Farhan berkata, UPM juga sentiasa menaik taraf kemudahan OKU di fasiliti utama universiti termasuk van, mesin cetak di perpustakaan, bilik dan bangunan mesra OKU,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

SU Politik PM kecewa Malindo Air tutup pintu pelepasan lebih awal

SETIAUSAHA Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kecewa apabila pesawat Malindo Air yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan