GARA-GARA bot yang dinaiki kehabisan minyak, pasangan suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila dihanyutkan sehingga ke perairan Filipina, Ahad lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, kejadian berlaku ketika pasangan tersebut dalam perjalanan dari Terusan Sugut menuju ke rumah anaknya di Batu Putih, Sandakan, Sabah.
Jelas beliau, mangsa, Md. Asibih Tamang, 73, dan isteri, Fatima Ulo, 65, dilaporkan hilang dengan menaiki bot gentian kaca pada pukul 8 pagi dan sepatutnya tiba dua jam kemudian.
“Mendapati mangsa tidak tiba pada waktu yang sepatutnya, menantu mereka, Midin Siran telah membuat laporan kepada Maritim Malaysia mengenai kehilangan pasangan itu.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada pukul 6.30 petang hari yang sama.
“Pencarian pasangan warga emas itu ditamatkan setelah mereka dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina kelmarin,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Menurut Zainudin, mangsa memaklumkan, mereka menuju ke Batu Putih dengan menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan perjalanan namun telah tersesat sehingga bot kehabisan minyak berhampiran Pulau Lankayan.
Katanya, mereka kemudiannya mendapatkan bantuan petugas yang berada di Pulau Lankayan untuk mengisi minyak.
“Bagi mengelakkan daripada tersesat , petugas berkenaan menasihati mereka agar mengikuti sebuah kapal yang akan menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.
“Walaubagaimanapun, setelah beberapa ketika mengikuti kapal berkenaan, Md. Asibih telah memintas kapal terbabit dengan alasan ia bergerak terlalu perlahan dan khuatir berlakunya ribut.
“Malangnya tindakan itu membuatkan mereka berdua tersesat dan kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun, Filipina,” jelasnya.
Zainudin berkata, mangsa telah diberikan bantuan oleh nelayan tempatan yang kemudiannya menghantar mereka pulang dengan menggunakan kapal nelayan.
Katanya, mereka diserahkan kepada Maritim Malaysia di kawasan Tanjung Pamaguan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga. – Edisi 9