28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, January 17, 2025

Warga emas cuba buat pusingan ‘U’ maut, isteri cedera

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki warga emas maut manakala isterinya patah tangan dan kaki selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 48 Jalan Batu Pahat – Mersing, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.16 petang itu, mangsa dikatakan cuba untuk membuat pusingan U, namun motosikal yang ditunggang tidak dapat dikawal lalu memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kemalangan melibatkan motosikal Modenas Kriss dinaiki pasangan tersebut dengan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Kemalangan berlaku di kawasan persimpangan lampu isyarat. Motosikal ditunggang mangsa datang dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala pacuan empat roda tersebut dari arah bertentangan.

“Setiba di tempat kejadian, motosikal terbabit masuk ke laluan pacuan empat roda menyebabkan pacuan empat roda melanggar motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Advertisements

Beliau berkata, ketika kejadian, lampu isyarat menunjukkan warna hijau dari kedua-dua arah tetapi laluan tersebut tidak dibenarkan membuat pusingan U.

Katanya, akibat daripada perlanggaran tersebut menyebabkan warga emas terbabit, Mohd Roslin Ahmad, 64, mengalami kecederaan dalaman, patah lengan dan kaki kiri sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Bahrin, isterinya, Halawati Abdullah, 45, yang membonceng motosikal itu patah tangan kanan dan kaki kiri serta kini menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

“Kedua-dua pasangan tersebut beralamat di Parit Raja, Batu Pahat. Sementara pemandu Toyota Hilux yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan dan berusia 71 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Katanya,kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan