26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

UMNO aktifkan semula Tabung Muafakat Palestin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UMNO akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin bagi dihantar sendiri secara terus ke Gaza.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kutipan derma ini akan diuruskan oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai tanda komitmen seluruh ahli UMNO bersolidariti dan sejiwa bersama Palestin.

“UMNO menyokong penuh inisiatif YAB Perdana Menteri yang menggerakkan tabung kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin. Peruntukan awal RM10 juta daripada Kerajaan Malaysia dan sasaran RM100 juta kutipan turut akan didokong oleh UMNO.

“UMNO akan menggerakkan tabung kemanusiaan bagi bantu rakyat Palestin,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan kejam regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang telah mengorbankan nyawa manusia tidak berdosa termasuk wanita serta kanak-kanak, demikian tegas

“Kekejaman Israel yang berterusan menyerang Palestin termasuk usaha mengusir mereka dari tanahair sendiri merupakan sebuah jenayah,”katanya.

Advertisements

Beliau berkata, UMNO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya membawa usul khas di Parlimen bagi menzahirkan solidariti seluruh Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira ideologi politik, membawa suara rasmi rakyat Malaysia bersama dengan rakyat Palestin yang kini sedang disembelih dengan kejam oleh regim Zionis.

“UMNO mendokong penuh pendirian Kerajaan Malaysia dalam mengutuk tindakan kejam yang tidak berperi-kemanusiaan regim zionis dan tidak akan sesekali menormalisasi hubungan diplomatik dengan negara haram penjajah Israel.

“Atas nama kemanusiaan dan hak asasi, UMNO mendesak masyarakat dunia untuk bersatu serta bersama-sama atas satu suara bagi mempertahankan kedaulatan Palestin disamping menghulurkan segera bantuan kemanusiaan ke Palestin,”katanya

Jelasnya, negara-negara dunia dan masyarakat antarabangsa yang berpegang kepada prinsip keamanan dan kemanusiaan sebagaimana disepakati melalui Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajib menyatakan pendirian tegas serta memberikan tekanan kepada Israel agar menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

“UMNO menyelar sikap hipokrasi negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan kedaulatan rakyat untuk pertahankan tanahair sendiri seperti di Ukraine, namun menghalalkan penyembelihan rakyat tidak berdosa yang hanya pertahankan hak kedaulatan tanahair sendiri daripada regim kebinatangan zionis Israel,” katanya lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan