25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Tiada kebenaran guna warga asing, 2 bot fiber ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua bot fiber bersama lima nelayan warga Myanmar kerana pemilik tiada kebenaran menggunakan kru warga asing.

Penahanan bot berkenaan dibuat pada kedudukan 9.9 dan 10 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau pada jam 5.10 hingga 5.25 petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, kedua-dua bot terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dan dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot pertama menemukan, tiga nelayan warga Myanmar termasuk tekong manakala di bot kedua seramai empat orang nelayan termasuk tekong dan dua daripadanya warga Myanmar serta selebihnya nelayan tempatan.

“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 13 hingga 41 tahun dan kelima-lima nelayan Myanmar terbabit merupakan pemegang kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNCHR).

Advertisements

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kedua-dua bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran menggunakan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Berikutan itu, kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah.

Ujar beliau, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan