30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Tarik tauliah: Selaras dengan titah Sultan Selangor – MAIS

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEPUTUSAN isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam melibatkan penceramah Ustaz Abdullah Khairi Haroon dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, titah tersebut berhubung larangan pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.

“Tindakan penarikan balik tauliah tersebut dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS.

“Sehubungan dengan itu, MAIS menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Ini kerana ia dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan bahawa MAIS menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada pendakwah Ustaz Abdullah Khairi berkuat kuasa pada 27 September lalu menerusi perkongsian di media sosial penceramah itu pada 5 Oktober lepas.

Advertisements

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Oktober lepas yang memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap penceramah, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani yang telah dikeluarkan oleh MAIS.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu adalah berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Justeru, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di negeri Selangor,” katanya.

Abdul Aziz menegaskan, keputusan MAIS untuk menarik balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ahmad Dusuki itu dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor berdasarkan maklumat tentang status keaktifannya dalam parti politik termasuk tapisan keselamatan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.

“Dalam hal ini, MAIS memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut atas alasan, antara lain, rayuan yang difailkan ini hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ustaz Ahmad Dusuki telah tamat pada 30 Jun lalu,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan