30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

SPR mesyuarat Selasa depan tentukan PRK Parlimen Kemaman

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu, Selasa depan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah menerima Laporan Hakim Pilihan Raya susulan keputusan petisyen pilihan raya di mana mahkamah telah membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen Kemaman pada 19 November tahun lalu.

Katanya, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Kemaman.

“Ia seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis yang membenarkan petisyen pilihan raya oleh calon Barisan Nasional (BN), Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Hakim Anselm Charles menerima dakwaan pempetisyen bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen tersebut apabila membenarkan bantahan awal oleh Che Alias berhubung petisyen yang dikatakan mengandungi fakta cacat dan tidak sah bagi menyokong dakwaan rasuah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan menjalani perbicaraan penuh. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan