25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Sindiket jadikan kondo mewah ‘markas’ promosi judi online, tumpas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan yang menjadikan kondominium mewah sebagai markas operasi pusat panggilan promosi judi online, selepas menyerbu dua unit kondominium di Salak Selatan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, serbuan itu dilaksanakan selepas kedua-dua unit kediaman mewah itu disyaki menjadi tempat operasi sebagai pusat panggilan (call centre) bagi sindiket berkenaan.

“Hasil serbuan, seramai tujuh lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 14 hingga 40 tahun telah ditangkap selepas dipercayai terlibat dalam kes penipuan judi dalam talian.

“Didapati, salah seorang ahli sindiket berusia 14 tahun dan tidak bersekolah merupakan pekerja di situ,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di kedua-dua unit itu turut berjaya membawa pasukan kepada rampasan 14 unit monitor, tujuh unit Pemprosesan Pusat (CPU), 18 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan tiga unit modem.

Advertisements

Tambah Zam Halim, siasatan awal polis juga mendapati premis tersebut digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian agar tidak dihidu dan diganggu pihak berkuasa.

“Sindiket itu menyasarkan mangsa warga Malaysia dan juga warga asing untuk penipuan judi dalam talian yang dipromosikan itu manakala siasatan lanjut juga mendedahkan transaksi kemasukan kredit bagi sindiket perjudian ini dianggarkan sekitar RM13 juta sebulan.

“Sindiket ini didapati beroperasi sejak bulan April 2023 secara aktif,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 120(B) / 420 Kanun Keseksaan dan disiasat bersama Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kesemua tangkapan berkenaan kini ditahan reman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 9 Oktober ini untuk siasatan lanjut,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan