27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Pembinaan plaza tol Genting Highlands tidak babitkan KKR, LLM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PROJEK pembinaan plaza tol di Jalan Gohtong Jaya, Genting Highland tidak membabitkan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, malahan LLM dan KKR tidak dimaklumkan mengenai perkara itu namun beliau telahpun mendapat pengesahan mengenai usaha pembinaan plaza tol terbabit pada 13 Oktober lalu.

“Saya mengambil maklum tentang isu yang sedang tular tentang pembinaan plaza tol di Jalan Gohtong Jaya, Genting Highland baru-baru ni yang menimbulkan keresahan pelbagai pihak.

“Untuk pengetahuan semua, Genting Highlands merupakan tanah persendirian. Sejak sekian lama jalan ke Genting Highlands diuruskan oleh pihak Genting Highlands sendiri.

“Maka sejak 13 Oktober lagi, saya telah mendapat pengesahan bahawa usaha pembinaan plaza tol di kawasan tersebut tidak melibatkan dan tidak dimaklumkan kepada LLM dan Kementerian Kerja Raya (KKR),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian haruslah mendapat kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan.

Advertisements

“Setakat ini, pihak Majlis Perbandaran Bentong dan Kerajaan Negeri Pahang tidak menerima apa-apa permohonan berkenaan pembinaan plaza tol ini.

“Oleh itu, arahan henti kerja telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Bentong agar pihak pemaju menghentikan sebarang usaha-usaha lanjut pembinaan sehinggalah pihak pemaju menghantar permohonan untuk diteliti sebelum dinilai dan diluluskan,” kata beliau.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.

Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd mengesahkan pelaksanaan tol itu.

Syarikat tersebut akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi itu.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan