PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Allahyarham Datuk Zulkefly Mohamad Omar.
“Takziah diucapkan atas khabar yang amat memilukan ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” ujar beliau menerusi media sosialnya hari ini.
Allahyarham Zulkefly yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilaporkan meninggal dunia pada usia 59 tahun di Hospital Serdang, Selangor hari ini.
Allahyarham mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dua hari lepas kerana menghidapi komplikasi pelbagai masalah kesihatan dan telah ditidurkan.
Zulkefly memulakan karier politik bersama Pas dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU-10) pada 1999 di DUN Lenggeng.
Allahyarham pernah memegang jawatan Pesuruhjaya Pas dari 2007-2011.
Setelah menyertai Amanah, Zulkefly bertanding di kerusi DUN Johol pada PRU-14 dan Parlimen Jelebu pada PRU-15, November tahun lepas.
Zulkefly dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan pada Julai 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-14. – Edisi 9