AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 16 pukat tunda dengan rampasan dianggarkan bernilai RM48,000 dalam Op. Mardof Perak yang berakhir semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, kesemua PATI yang ditangkap terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia berumur lingkungan 12 hingga 49 tahun.
Katanya, operasi bersepadu yang diadakan sejak 30 September itu, melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Perikanan (DOF), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (Swasla) Lumut.
“Sebanyak 59 pemeriksaan telah dijalankan di darat dan di laut serta turut berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan sektor operasi perairan Perak dengan nilai keseluruhan tangkapan di darat dan di laut berjumlah RM1.6 juta.
“Kesemua kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, operasi tersebut telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil kerjasama erat dengan agensi berkaitan dalam usaha mencapai misi dan objektif yang sama.
“Maritim Malaysia dan DOF komited untuk terus melaksanakan operasi seumpama ini bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan dalam sektor perikanan sentiasa terpelihara.
“Kedua-dua agensi turut menggesa kepada pihak yang terlibat dalam industri perikanan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan bersama dan masa depan industri perikanan Malaysia,” katanya. – Edisi 9

