AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 160 set bubu naga dalam empat siri rampasan di perairan Tanjung Dawai sehingga Kuala Kedah sepanjang minggu ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Mereka mengubah lokasi semasa pemasangan bubu dan meletakkan pelampung penanda, pancang kayu dan beberapa alatan alat sistem pengesanan global (GPS) yang mencurigakan pada setiap bubu naga.
“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM20,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya semalam.
Sementara itu, Noor Azreyanti berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Kami sentiasa komited dalam operasi rondaan bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
“Salurkan aduan ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah 04-731 0579 untuk maklum balas segera,” katanya. – Edisi 9

