24.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Kerjasama MQA, badan profesional tingkat imej pendidikan tinggi

Mesti Baca

KERJASAMA antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan badan profesional mampu menarik minat pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia seterusnya meningkatkan imej pendidikan tinggi negara di persada global.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya ditugaskan untuk membuka seberapa banyak jaringan dengan badan jaminan kualiti di peringkat global dan usaha itu sedang giat dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, pembukaan ‘pintu’ atau ruang itu tidak bermakna sekiranya tiada sambutan di dalam negara, justeru institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu menonjolkan bidang tujahan masing-masing termasuk yang berkaitan program profesional.

“Kita perlu memudah cara proses tertentu dalam usaha menjadikan negara ini destinasi pilihan global untuk pelajar antarabangsa terutama negara fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari Asia Tengah, Asia Barat dan China.

“Dalam era baru MQA, kami lebih fleksibel dan dinamik termasuk hal ehwal proses dan prosedur program membabitkan badan profesional yang mungkin perlu dilihat semula supaya selari dan sesuai dengan kehendak semasa.

“Perkara yang baik memang perlu diteruskan, namun dengan pendekatan berbeza bukan statik, ia perlu ditambah baik kerana jika kita sukar atau enggan berubah, maka kita akan ketinggalan dengan negara lain,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sesi Libat Urus MQA bersama Badan Profesional, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan), Abdul Saman Taip dan 110 wakil dari 24 badan profesional serta ahli Mesyuarat Jawatankuasa Akreditasi.

Sesi yang julung kali dianjurkan Bahagian Akreditasi Sains dan Perubatan itu adalah satu daripada inisiatif MQA untuk terus mewujudkan kerjasama strategik bersama semua badan profesional tempatan.

Sementara itu,  Khairul Salleh dalam ucapan penutup berkata, melalui itu MQA akan meneliti dan memperhalusi semua isu dan cadangan yang dibangkitkan oleh badan profesional dengan mengambil kira semua prosedur dan peruntukan perundangan sedia ada.

Katanya, sesi libat urus secara spesifik juga akan diadakan dengan setiap badan profesional secara berterusan bagi menambah baik proses penilaian sedia ada.

“Kerjasama erat dengan semua badan profesional amatlah diperlukan bagi memastikan proses penilaian berjalan lancar dan memenuhi aspirasi semua pihak berkepentingan,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan