SEBANYAK lima kawasan di tiga negeri merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 10 pagi tadi.
Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sungai Rambai di Melaka merekodkan bacaan tertinggi dengan paras 153.
Bandaraya Melaka turut merekodkan bacaan 151 sementara dua kawasan di Johor, Batu Pahat dan Tangkak masing-masing mencatatkan bacaan 132 dan 122.
Dalam pada itu, Port Dickson menjadi kawasan tunggal di Negeri Sembilan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat apabila mencatatkan paras 124 pagi ini.
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah berbahaya.
Sementara itu, terdapat 51 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana pagi ini manakala 12 lagi kawasan berada pada paras baik. – Edisi 9