31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

JAKIM komited teliti punca kelewatan pengurusan sijil halal

Mesti Baca

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan Penjanaan Semula Proses Perniagaan (BPR) untuk meneliti isu serta punca kelewatan dalam pengurusan pensijilan halal Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata langkah digerakkan sejak Januari lalu itu antara lain bertujuan menggerakkan usaha strategik demi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, melalui BPR, JAKIM berjaya memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 yang terhasil melalui projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia.

“JAKIM menyambut baik hasrat kerajaan untuk memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari seperti disebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sewaktu pembentangan Belanjawan 2024.

“Justeru, penilaian dan kajian terperinci dilakukan JAKIM dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk memastikan kaedah pelaksanaan bersesuaian dengan hasrat itu dapat dilaksanakan bermula daripada peringkat pra pensijilan sehingga pasca pensijilan halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak 1 Januari hingga 30 September lalu, JAKIM menerima keseluruhan 2,664 permohonan sijil halal.

Daripada jumlah itu, sejumlah 2,399 permohonan atau 90 selesai diuruskan, manakala baki 265 atau 10 peratus sedang diproses di pelbagai peringkat sama ada di bawah tindakan JAKIM atau yang memerlukan tindakan pemohon.

Advertisements

Hakimah berkata, JAKIM turut menstruktur semula birokrasi permohonan dan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang berkuat kuasa.

“Ia bagi memastikan ekosistem tadbir urus dan tata kelola penyampaian perkhidmatan diberikan menjadi indikator utama dalam memastikan perkhidmatan disampaikan berkesan dan cekap, serta memenuhi ekspektasi disasarkan.

“JAKIM dengan kerjasama Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) juga sedang berusaha menaik taraf Sistem MYeHALAL 2.0 supaya lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa.

“JAKIM turut mengalu-alukan pembabitan sektor swasta dalam membangunkan sistem sokongan halal seperti i-Bimbing dan MyHMS bagi membantu pihak industri membuat persiapan yang rapi sebelum mengemukakan permohonan SPHM,” katanya.

Katanya, untuk memastikan segala inisiatif digerakkan dapat dilaksanakan dengan berkesan, JAKIM ingin menarik perhatian semua industri untuk sentiasa memastikan kesediaan lebih baik ke arah pensijilan halal diselesaikan di peringkat industri, sebelum mengemukakan permohonan halal.

“JAKIM akan memberi sepenuh komitmen agar pengurusan tata kelola halal dan pengurusan pensijilan halal ditambah baik dari semasa ke semasa demi memastikan Malaysia kekal peneraju halal global,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan