HANYA berlaku pergaduhan kecil yang berlaku melibatkan seorang anggota tentera dan peniaga di sebuah kedai karpet di Nilai 3 di sini.
Ketua Polis daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya sekaligus menepis dakwaan sekumpulan warga asing yang turut sama terbabit dalam kejadian itu sehingga tular dalam video baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada Sabtu lalu jam 7.43 malam yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.
“Lelaki berkenaan yang juga seorang anggota tentera menyatakan pada 7 Oktober lepas dia telah membeli sebuah kerusi berbentuk jari di sebuah kedai karpet bertempat di Nilai 3 dengan harga RM70.
“Kerusi tersebut kemudiannya patah setelah digunakan selama dua minggu.
“Pada Sabtu lalu, jam lebih kurang 4.30 petang, dia ke kedai tersebut dan meminta untuk tukar ganti kerusi yang baharu
“Semasa dalam kedai telah berlaku pertengkaran dan datang seorang lelaki warga asing menghantukkan kepalanya ke dahi pengadu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada siasatan awal mendapati pengadu tidak ada menyatakan 15 orang lelaki warga asing yang mengepungnya.
“Pengadu hanya memberitahu seorang lelaki warga asing telah menghantukkan kepala pada dahinya.
“Berikutan itu, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Suspek disyaki seorang lelaki warga asing.
“Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sebelum ini tular sebuah video di aplikasi TikTok mendakwa seramai 15 hingga 20 warga asing telah mengepung dan menumbuk rakyat Malaysia yang bertugas sebagai askar. – Edisi 9

