POLIS menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes dera dan amang seksual ke atas dua remaja dalam dua kejadian berasingan yang berlaku minggu lalu di sebuah pusat jagaan di Lembah Jaya di sini.
Perbuatan dua lelaki berkenaan terbongkar selepas dua remaja terbabit masing-masing berusia 13 dan 14 tahun menceritakan kejadian itu kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebelum dibawa untuk membuat laporan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan menerima laporan itu dengan kejadian pertama dikatakan berlaku jam 1 pagi pada 20 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, katanya, pelajar tingkatan satu mendakwa ditarik sukarelawan lelaki di pusat jagaan itu ke sebuah bilik butik, sebelum suspek mencabul dan cuba merogol mangsa.
“Kejadian itu disedari rakan suspek yang kemudian bertindak menghalangnya,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, mengulas kejadian kedua pula, beliau berkata ia berlaku jam 4 petang pada 22 Oktober lalu membabitkan pelajar perempuan tingkatan dua yang mendakwa dimarahi seorang penjaga pusat jagaan yang juga lelaki warga asing ketika berada di dalam bilik.
“Mangsa memaklumkan dia dipukul suspek menggunakan kayu pada paha, selain turut ditampar kerana menggunakan telefon bimbit di dalam bilik.
“Bertindak atas laporan itu, kedua-dua suspek yang berusia 27 tahun ditahan pada jam 5 petang semalam,”katanya.
Mohd Azam berkata, pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa yang dipukul ada kesan lebam pada paha dan betis kiri, serta kesan bengkak di pipi kiri, manakala mangsa kedua tiada kesan kecederaan.
Berikutan itu, katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 2 November ini.
“Kes akan di siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,”katanya. – Edisi 9

