27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Belanjawan 2024: 8.1 juta penduduk desa terima manfaat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 8.1 juta penduduk desa akan mendapat manfaat menerusi agenda pembangunan luar bandar yang akan dilaksanakan kerajaan di atas peruntukan berjumlah RM11.55 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah berkenaan meliputi RM4.12 billion peruntukan mengurus dan juga RM7.44 bilion peruntukan pembangunan dan jumlah ini adalah RM513 juta atau 4.7 peratus lebih tinggi daripada peruntukan 2023.

Beliau berkata, selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani, KKDW amat menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar.

“Dalam hal ini, KKDW memainkan peranan penting untuk membantu meningkatkan pendapatan dan membantu menyediakan kediaman untuk golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

“Untuk tahun 2024, sebanyak RM497.2 juta untuk Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat termasuk RM460 juta untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin yang melibatkan 65,000 penerima manfaat, Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Bina Insan serta Program Komuniti Sejahtera.

“Jumlah ini merupakan peningkatan RM12 juta atau 2.5 peratus berbanding peruntukan tahun 2023,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata, dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan dan memaksimumkan potensi ekonomi desa, sebanyak RM79.02 juta telah diperuntukkan untuk aktiviti ekonomi luar bandar.

“Sebanyak RM586 juta pula telah diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) termasuk RM31 juta untuk membina 10 TABIKA dan TASKA baharu di Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor.

“Dalam pada itu, bagi mengiktiraf peranan Jawatankuasa Pembangunan dan
Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dalam membantu pembangunan komuniti di luar bandar, kerajaan bersetuju meluluskan Pemberian Insentif Tadbir Urus JPKK dan JPKKP bernilai RM5,000.

“Ia sebagai pemangkin untuk menggerakkan pelbagai program pembangunan komuniti merangkumi aktiviti ekonomi, keselamatan, sosial dan keindahan
kampung,”katanya.

Advertisements

Sementara itu, beliau berkata, bagi mendokong konsep masyarakat inklusif, sebanyak RM333 juta diperuntukkan untuk meningkatkan taraf hidup dan mempercepat pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli berbanding
RM305 juta pada tahun 2023.

Katanya, KKDW juga amat mengalu-alukan peruntukan bagi agenda pemerkasaan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan
keusahawanan, yang turut memberi manfaat kepada masyarakat desa termasuk golongan belia dan wanita.

“Sebanyak RM3.99 bilion diperuntukkan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk turut menaik taraf kemudahan perniagaan, bantuan pinjaman
perniagaan dan Program Penajaan Pendidikan MARA.

“Sebanyak RM2,667.2 bilion pula bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar termasuk RM1,634.7 billion untuk Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa.

“Jumlah ini adalah RM147.7 juta atau 9.93 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan peruntukan tahun 2023. Antara projek jalan yang akan dilaksanakan adalah membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa termasuk di Bachok, Kelantan, Tambun Tulang, Perlis dan Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan,”katanya.

“Selain itu, sebanyak RM939 juta diperuntukkan untuk Bekalan Elektrik dan Bekalan Air Luar Bandar termasuk di Sabah dan Sarawak yang dijangka akan memberi manfaat kepada 7,350 rumah.

“Sebanyak 60,000 unit Lampu Jalan Kampung akan dipasang dan 500,000 unit Lampu Jalan Kampung akan diselenggara melibatkan peruntukan RM134 juta.

Tambahan lagi, kata beliau, sebanyak RM57 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan 115 projek untuk menaiktaraf jambatan uzur dan bina jambatan baharu.

“Sebanyak RM73 juta diperuntukkan bagi menaik taraf, membina dan membaik pulih kemudahan asas seperti dewan, balai raya, dataran kejat serta laluan berbumbung di kawasan desa dan pedalaman di bawah Projek Ameniti Sosial,”katanya.

Ujar beliau, KKDW komited untuk memastikan peruntukan RM11.55 bilion yang diterima pada tahun 2024 akan dimanfaat sepenuhnya bagi
mentransformasi desa-desa di Malaysia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan