26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Sistem bayaran tol secara terbuka 9 lebuh raya bermula hari ini

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PELAKSANAAN sistem kutipan tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) di sembilan lebuh raya bermula secara rasmi hari ini.

Kementerian Kerja Raya menerusi kenyataan berkata, inisiatif itu memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya membuat bayaran tol menggunakan kad debit, kad kredit dan kad prabayar yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard.

Katanya, ia merupakan alternatif baharu kepada kaedah pembayaran tol sedia ada menggunakan kad Touch ‘n Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID). 

“Lorong SPT telah dibuka kepada pengguna semasa ujian rintis awam secara berperingkat di lebuh raya terpilih mulai 3 Ogos lalu bagi menguji kefungsian dan keberkesanan sistem.

“Oleh itu, bermula hari ini, pengguna kenderaan kelas 1 iaitu kenderaan persendirian boleh membuat bayaran tol secara SPT di lebuh raya terpilih,” katanya.

Sistem kutipan tol SPT telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Pengarah LLM, Ir. Sazali Harun; Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dan Ketua Pegawai Eksekutif Besraya, Wan Salwani Wan Yusoff.

Sembilan lebuh raya yang yang mengambil bahagian termasuk Besaraya ialah Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint).

Advertisements

Selain itu turut terlibat ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Kulim-Butterworth (BKE).

KKR berkata, pelaksanaan SPT di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dijangka akan bermula pada penghujung tahun ini bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi demi kemudahan pengguna lebuh raya. 

“Pengurusan PLUS Malaysia Berhad telah diminta untuk menyegerakan pelaksanaan SPT ini agar pengguna JPP dapat menggunakannya pada penghujung tahun ini,” katanya. 

Dalam pada itu, KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengaktifkan contactless payment bagi kad debit/kad kredit/kad prabayar yang akan digunakan.

Katanya, pengguna perlulah memilih lorong yang betul, yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard pada papan tanda lorong.

Selain itu, pengguna dikehendaki memastikan kad yang digunakan adalah sah dan baki kad debit/kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol.

“Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna hendaklah menggunakan kad bank lain ataupun kad Touch ‘n Go yang mempunyai baki mencukupi.

“Menyentuh kad pada bahagian yang ditetapkan di terminal SPT yang diletakkan bersebelahan terminal Touch ‘n Go bagi memastikan kelancaran pembayaran tol secara SPT,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan