31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

PRK Pelangai: Calon, penyokong diingatkan patuhi peraturan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua calon dan penyokong yang hadir pada Hari Penamaan Calon (HPC) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar.

“Bakal-bakal calon disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Pahang, sebelum HPC.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

SPR telah menetapkan tarikh Hari Penamaan Calon (HPC) PRK DUN Pelangai pada Sabtu ini, susulan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina pada 17 Ogos lalu.

Ikmalrudin berkata, bakal calon yang mewakili parti politik diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

Advertisements

Katanya, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong untuk memasuki PPC.

“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada HPC.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Menurut beliau, calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

“Ia termasuk bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan komponen secara bersama atau berasingan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan