28.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 6, 2024

Pentingnya pendidikan kaedah konvensional untuk kanak-kanak

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

AKHBAR The Guardian pada 11 September 2023 menyiarkan satu tajuk yang berbunyi, Switching Off: Sweden says back-to-basics schooling works on paper.

Kini mereka mengutamakan buku bercetak, pembacaan secara senyap dan berlatih menulis dengan tangan.

Menteri Pendidikan Sweden, Lotta Edholm setelah memegang portfolio tersebut selama 11 bulan merupakan pengkritik keras terhadap pendidikan yang terlalu bergantung kepada teknologi.

Dia telah mengarahkan agar Sweden kembali kepada kaedah tradisional pada peringkat taman kanak-kanak.

Penulis sangat setuju dengan tindakan Sweden itu kerana mendedahkan kanak-kanak tadika kepada teknologi adalah terlalu awal.

Kanak-kanak pada peringkat awal perlu didedahkan kepada kaedah tradisi iaitu pembacaan, penulisan, pemahaman yang sederhana dan melatih berfikir.

Juga perlu ditambah pendidikan akhlak, sopan santun, menghormati orang yang lebih tua dan sebagainya agar mereka tidaklah bertanya, apa kata laluan, ada internet atau tidak dan sebagainya.

Iaitu berkaitan dengan alam digital ketika baru memasuki sesuatu premis atau ketika berkunjung ke rumah saudara-mara atau apabila pula ke kampung untuk bertemu datuk atau nenek.

Advertisements

Penulis dapati apabila cucu-cucu berkunjung ke rumah datuk dan nenek tidak lagi bersalaman dengan mereka tetapi lebih asyik dengan gajet mereka.

Ada juga ibu bapa yang menggunakan gajet sebagai alat untuk mendiamkan anak-anak mereka agar tidak mengganggu mereka berbual dengan tuan rumah.

Amalan menggunakan gajet sebagai alat untuk membuatkan anak diam perlu segera ditamatkan.

Arahkan mereka segera untuk bergaul dengan rakan-rakan atau saudara-mara yang lebih tua dalam sesuatu pertemuan bersifat kekeluargaan, kejiranan lain-lain pertemuan yang dihadiri mereka.

Kita perlu mendidik mereka kepada hal-hal yang asas seperti bercerita, membaca, berbual dan melukis tanpa menggunakan gajet.

Setelah mereka melalui peringkat asas ini, kita tiada halangan untuk mereka menggunakan gajet-gajet sebagai alat bantuan pembelajaran.

Ini kerana kita sedar ilmu berkembang begitu cepat sehingga tanpa teknologi agak sukar untuk mengejar perkembangan ilmu yang demikian laju.

Bagaimanapun perlu ada kajian bagi mengetahui pada peringkat manakah kanak-kanak boleh didedahkan kepada teknologi.

Namun sebelum itu mereka mestilah didedahkan kepada kaedah asas konvensional agar perkembangan kongnitif mereka dapat dibangun dengan sempurna secara berperingkat.

Semoga kita tidak terlambat mencipta alam kanak-kanak yang lebih kepada persekitaran alam dan lebih banyak bermain bagi mengembangkan kebolehan berfikir, membaca dan berinteraksi sesama mereka dan orang yang lebih dewasa.


Penulis adalah mantan Profesor Madya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan aktif dalam penulisan.
Advertisements

Terkini

Zahid puji program CSR MARA, dedah pelatih aplikasi kursus

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji usaha Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendekati komuniti melalui program tanggungjawab...

Lagi Artikel Berkaitan