SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin menekankan kepentingan pelaporan tepat yang merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen tanpa menggunakan kandungan berkenaan bagi tujuan menyebarkan kebencian dan mencetuskan provokasi.
MCMC menerusi kenyataan berkata, ini berikutan hasil pemerhatian dan MCMC mendapati, beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.
“Bagi mencegah berlakunya sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), MCMC meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta juga saluran berita.
“MCMC juga memandang serius kesan akibat pelaporan yang kurang bertanggungjawab terhadap masyarakat,”katanya.
MCMC berkata demikian sebagai menjawab laporan berita yang disiarkan sebuah portal tempatan berhubung ucapan yang disampaikan di Parlimen serta hantaran Facebook seorang wartawan kanan, A Kadir Jasin pada hari ini.
Sehubungan dengan itu, MCMC menasihatkan pengamal media serta saluran berita untuk merujuk kepada Kod Kandungan yang memberi panduan jelas berhubung standard kandungan yang selaras dengan AKM 1998.
“Dengan mematuhi Kod Kandungan, pengamal media dapat memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan bersuara.
“Garis panduan yang digariskan dalam Kod Kandungan menggalakkan pendekatan bertanggungjawab dalam peruntukan kandungan dan prosedur kawalan kendiri.
“Pendekatan ini bertujuan untuk memupuk kreativiti, inovasi, dan pertumbuhan sihat dalam industri.
“Dengan mengikuti garis panduan tersebut, saluran-saluran berita boleh menyumbang kepada suatu wacana yang lebih seimbang dan termaklum, bebas daripada sebarang manipulasi dan maklumat yang kurang tepat,”katanya.
Ujar MCMC, adalah penting bagi pengamal media untuk mempraktikkan pertimbangan yang beretika dan mengelakkan daripada menggunakan kandungan berita sebagai senjata untuk menyebarkan maklumat palsu. – Edisi 9