33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Menang di Pulai, Simpang Jeram positif bagi Kerajaan Perpaduan

Mesti Baca

KEMENANGAN Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram suatu perkembangan positif bagi Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan.

Anwar yang juga Pengerusi PH mengucapkan tahniah kepada kedua-dua calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan itu dalam PRK yang berlangsung hari ini.

“Penghargaan saya buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara.

“Keputusan ini ternyata suatu perkembangan yang positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau malam ini.

Dalam PRK Parlimen Pulai, Suhaizat yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor memperoleh 48,283 undi bagi mengatasi Zulkifli Jaafar (Perikatan Nasional) yang mendapat 29,642 undi dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (528 undi).

Sementara itu bagi Nazri pula berjaya mempertahankan kerusi yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu dengan majoriti 3,514 undi.

Advertisements

Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN yang memperoleh 10,330 undi dan calon Bebas, S. Jeganathan yang hanya memperoleh 311 undi.

Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syukur atas kemenangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu.

Menerusi poster ringkas di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berterima kasih kepada seluruh jentera dan pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pula berkata, kemenangan di kedua-dua kerusi tersebut membuktikan rakyat sudah mula menolak gelombang hijau dan ombak ekstrem yang dibawa oleh PN.

Katanya, dalam tempoh empat tahun ini kita semua perlu bekerja kuat dan membuktikan kesepaduan yang terjalin antara PH dan BN ini dapat memberikan kemakmuran buat rakyat Malaysia.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pimpinan utama BN Johor dan seluruh jentera yang telah bekerja kuat bagi memenangkan calon PH di kedua-dua kerusi berkenaan.

“Terima kasih kepada seluruh petugas yang telah berusaha keras sejak dari awal tempoh berkempen lagi. Terima kasih kepada rakyat Johor yang memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Ramasamy, Fadhil amal kempen menyesatkan – Puad Zarkashi

PRESIDEN Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhil Shaari dianggap mengamalkan kempen...

Lagi Artikel Berkaitan