29.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 14, 2024

Agong, Raja Permaisuri teruskan Jelajah Sarawak ke Bintulu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan meneruskan perjalanan ke Bintulu pada hari kelapan Kembara Kenali Borneo, hari ini.

Sebelum memulakan perjalanan melibatkan jarak sejauh hampir 200 kilometer (km) dari sini ke Bintulu, kembara konvoi Seri Paduka berdua itu akan mengadakan persinggahan di Pantai Bungai, satu daripada pantai di Bekenu, di sini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Pesta Keramaian Bersama Rakyat di pantai itu yang merupakan antara lokasi tarikan di Daerah Miri, terletak kira-kira 35 km dari sini.

Berangkat sama menyertai konvoi Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Antara acara bagi mewarnai pesta keramaian yang bermula 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu adalah program kenduri rakyat, sukan rakyat, jualan kraftangan serta santapan tengah hari bagi meraikan kunjungan Kembara Kenali Borneo.

Usai meluangkan masa dan beramah mesra dengan rakyat di pantai berkenaan, Seri Paduka berdua bersama rombongan akan meneruskan perjalanan ke Kampung Penan Muslim, Batu 10, Miri-Bintulu untuk majlis santapan petang serta pengurniaan sumbangan bantuan asnaf di situ.

Advertisements

Seri Paduka berdua turut dijadualkan mengadakan sesi bergambar di Nyabau Interchange, Bintulu sebelum mengakhiri penjelajahan Kembara Kenali Borneo ke hotel penginapan.

Esok, Kembara Kenali Borneo akan meneruskan pengembaraan dengan mengadakan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 Sept.

Kembara Kenali Borneo telah menyambung semula penjelajahan ke Sarawak menerusi Miri dengan beberapa acara dianjurkan untuk meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua bersama delegasi, semalam.

Kembara Kenali Borneo untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada Khamis sejak ia bermula pada 3 Sept lepas.

Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Buli siber: Letak tanggungjawab kepada pemilik akaun – Gobind

MENTERI Digital, Gobind Singh Deo, mencadangkan undang-undang baharu dipertimbang bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaannya,...

Lagi Artikel Berkaitan