28.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Lebih 30,000 pelajar ke IPTA terima bantuan PTPTN melalui WPP

Mesti Baca

SERAMAI 30,893 pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sesi Oktober 2023 menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan peruntukan berjumlah RM46.34 juta kepada pelajar bagi kemasukan sesi itu.

Setiap pelajar yang layak, menerima wang sebanyak RM1,500 untuk menampung perbelanjaan bagi persiapan awal mereka memasuki IPTA.

Pendahuluan pinjaman itu menunjukkan PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

WPP itu diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP ketika memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Sejak WPP diperkenalkan pada 1999, sehingga 31 Ogos lalu seramai 969,046 pelajar menerima manfaat berkenaan dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP berkenaan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 19 September lalu dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 19 September hingga 18 November depan.

Advertisements

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif pemberian WPP ini adalah sebagai salah satu usaha dalam menjayakan agenda pendidikan negara bagi memastikan semua pelajar di negara ini mampu melangkah masuk ke IPT tanpa sebarang masalah kewangan.

“Pemberian WPP ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak ke IPT di mana semuanya memerlukan sumber kewangan yang tinggi.

“Gunalah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” katanya.

Pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

Pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.

Pelajar boleh mendapatkan maklumat dengan cepat, mudah dan selamat, hanya di hujung jari melalui aplikasi myPTPTN. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan