33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Kerajaan jamin tidak bersikap kuku besi terhadap media

Mesti Baca

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) memberi jaminan tidak akan bersikap kuku besi terhadap media seperti mana yang berlaku ketika pentadbiran sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Kerajaan Perpaduan masih berpegang dengan pendirian mempertahankan kebebasan media, namun tidak boleh berkompromi dengan laporan berbentuk fitnah dan tidak benar.

Meskipun ada beberapa tindakan sekatan dikenakan terhadap beberapa portal berita baru-baru ini, beliau menegaskan situasi di bawah Kerajaan Perpaduan masih jauh lebih baik berbanding ketika pentadbiran terdahulu.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Komunikasi dan Digital, tidak ada seorang wartawan pun yang ditahan polis, tidak ada satu surat khabar pun ditutup seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Saya terima kenyataan dan pandangan yang disampaikan mengenai sekatan terhadap portal berita dan saya harap ada beberapa penambahbaikan boleh dilakukan supaya kita kekal jamin dan pertahankan hak media untuk terus bebas membuat laporan, tapi ada beberapa elemen seperti fitnah atau maklumat yang tidak betul dilaporkan.

“Saya harap rakan media dapat bincang untuk pastikan ia tidak berulang kerana laporan yang tepat adalah sama penting dengan pelaporan yang pantas.

“Jaminan saya ialah kita tidak akan bersikap kuku besi seperti yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini. Itu jaminan kepada rakan media,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kita Madani Aspiras Malaysia 2023 Peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.

Advertisements

Beliau mengulas kenyataan pertubuhan pemerhati media antarabangsa, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang mengecam tindakan KKD melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang mengenakan sekatan terhadap beberapa portal berita baru-baru ini.

Terdahulu, Pengarah RSF Biro Asia Pasifik, Cedric Alviani bimbang dengan trend sekatan tanpa sebarang pemakluman itu dan menggesa Fahmi menghentikan tindakan berkenaan yang memberi kesan negatif kepada demokrasi di Malaysia.

Mengulas mengenai pandangannya terhadap tindakan SKMM membuat sekatan tanpa sebarang pemaklumkan, Fahmi mengakui ada memberi beberapa teguran kepada suruhanjaya itu untuk melakukan penambahbaikan dalam tindakannya.

Pada masa sama, beliau menegaskan tindakan dilakukan oleh badan kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM hanya dimaklumkan kepadanya selepas penguatkuasaan dilaksanakan.

“Saya ada menyampaikan pandangan kepada MCMC kerana mereka perlu pastikan sebarang tindakan yang diambil tidak menimbulkan salah faham kerana bagi Perdana Menteri dan pentadbiran ini, kebebasan media harus dipertahankan dan akan terus kita pertahankan.

“Ini seperti yang disebut Perdana Menteri sewaktu sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan Anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022.

“Beliau kekal dengan pendirian berkenaan begitu juga saya kekal dengan pendirian yang sama,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Menangi lebih RM400,000 menerusi Anugerah HONOR Magic Moments 2024

ANUGERAH HONOR Magic Moments mengadakan pertandingan fotografi mudah alih global tahunan ke empat dan kini menerima penyertaan untuk 2024. Pertandingan...

Lagi Artikel Berkaitan