SERAMAI 772 individu akan menerima pengurniaan kehormatan kebesaran negeri di Istana Balai Besar sempena ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke-54, esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Nazran Muhammad berkata enam individu juga bakal dilantik sebagai Jaksa Pendamai.
Menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, adalah saya dengan ini memaklumkan bahawa baginda telah mengampuni perkenan mengurniakan gelaran, darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat kebajikan kepada 772 penerima,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar di Kota Bharu hari ini.
Turut hadir Pengelola Istana D’Raja Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Kelantan Mej Jen (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah.
Beliau berkata seramai 98 individu akan menerima pengurniaan kehormatan kebesaran manakala sesi seterusnya akan dimaklumkan kemudian.
Nazran turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan istiadat pengurniaan kali ini.- BERNAMA