30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kebenaran terserlah, Zahid mangsa pendakwaan politik – UMN0

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

UMNO menzahirkan rasa syukur berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO sejak awal yakin dan percaya bahawa Ahmad Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

Jelas Asyraf Wajdi, kezaliman terhadap Ahmad Zahid berlaku hanya beberapa minggu selepas Dr. Mahathir mengancam supaya Presiden UMNO itu membubarkan parti dalam pertemuan yang diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu dalam satu temuramah media.

“Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya My Story: Justice in the Wilderness yang jelas memperakui terlibat langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu-individu politik berpengaruh bersama Perdana Menteri ketujuh waktu itu.

“Kes pendakwaan politik ini tetap diteruskan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri walaupun Tan Sri Idrus Harun dan Tan Sri Azam Baki masing-masing telah dilantik sebagai Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Ahmad Zahid setelah mengambil kira keputusan yang telah diambil Peguam Negara untuk memberhentikan pendakwaan kesemua baki 47 kes pertuduhan.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini juga membebaskan dan melepaskan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sekali gus membersihkan nama baik beliau terhadap 40 pertuduhan yang terbukti tiada asas dan prima facie untuk didakwa dan disabitkan sebarang kesalahan jenayah pada 23 September 2022.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, walaupun Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikekalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka akhirnya melakukan keputusan yang tepat dengan menghentikan pendakwaan.

Beliau berkata, salah satu daripada 11 alasan pendakwa raya memberhentikan pendakwaan memperakui bahawa pendakwaan dibuat secara tergesa-gesa sedangkan siasatan tidak sempurna.

Advertisements

Katanya, itu boleh menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara dan SPRM, yang  diperlihatkan menjadi alat pembunuhan musuh politik oleh pihak berkuasa.

“Ini bagaikan mengesahkan satu memo taklimat yang tular (jika benar keabsahannya) beberapa minggu lepas yang disediakan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kepada Peguam Negara waktu itu, Tommy Thomas.

“Memo itu mencadangkan bahawa tiada apa-apa pertuduhan boleh dibuat ke atas Ahmad Zahid kerana tiada sebarang keterangan dan bukti menjurus kepada sebarang perlakuan jenayah adalah suatu yang amat menggemparkan.

“Namun, hanya dua hari selepas tarikh memo tersebut dibentangkan kepada Peguam Negara waktu itu, pendakwaan tetap dilakukan bagaikan tergesa-gesa semacam ada tangan-tangan ghaib berniat jahat yang membuat pengarahan,” tegasnya.

Asyraf Wajdi berkata, dengan keputusan ini, maka semakin jelas kerakusan kepimpinan Tun Mahathir dan Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) yang sanggup menganiayai pemimpin-pemimpin UMNO.

Katanya, ia dilakukan demi gelojak nafsu dan dendam untuk menghancurkan UMNO dan kononnya boleh menggantikan parti itu dalam perjuangan Islam dan Melayu di negara ini.

“Besarlah harapan UMNO agar titik-titik hitam dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan negara begitu mudah diperalatkan hingga membawa kepada ketidak-stabilan politik negara mestilah dititik-noktahkan.

“UMNO berpendirian tegas agar di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia ini, segala pendakwaan politik yang memperalatkan institusi-institusi yang menjadi benteng kepada sistem keadilan negara tidak lagi berulang. 

“Jabatan Peguam Negara dan SPRM mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah mereka untuk melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuklah pimpinan dan ahli UMNO sendiri,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan