25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

Enggan bayar sewa tertunggak, DBKL ambil tindakan kunci air

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SAMPAI BILA NAK TERTUNGGAK BAYARAN SEWA?

Itulah persoalan yang ditujukan kepada sesetengah penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang culas dari segi pembayaran sewaan.

Isu berkenaan bukanlah suatu isu yang baharu dan seringkali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdepan dengan pelbagai alasan biarpun telah diberikan ruang untuk berbincang.

Tanpa bertolak ansur lagi, DBKL melalui Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) telah melaksanakan Operasi Kunci Air (OKA) ke atas penyewa-penyewa yang bertunggakan sewa ini.

DBKL menerusi kenyataan berkata, JPKKB telah melaksanakan tindakan tersebut di dua kawasan PPR iaitu PPR Perkasa dan PPR Seri Alam.

“Pihak penguatkuasa juga akan meneruskan OKA di kawasan-kawasan lain juga,”katanya.

DBKL berkata, pelbagai usaha telah dibuat bagi memberi ruang kepada penyewa yang mempunyai tunggakan ini bagi menjelaskan bayaran sewa yang tertunggak.

“Tindakan seperti mengeluarkan hebahan serta notis, ditambah pula sesi bersemuka dan pembukaan kaunter bergerak di kawasan PA, PPR telah dilaksanakan.

Advertisements

“Ia bertujuan bagi memudahkan penyewa berunding untuk menstrukturkan bayaran bagi menjelaskan tunggakan.

“Pembukaan kaunter bergerak pula adalah bagi memudahkan urusan pembayaran penyewa terutama penyewa yang bertunggakan.

“Setelah segala usaha dibuat, tindakan kunci air dikenakan ke atas penyewa-penyewa yang masih berdegil untuk tampil berunding bagi menyelesaikan tunggakan walaupun pelbagai peringatan dan peluang diberikan,”katanya.

Ujarnya, DBKL memandang serius perkara ini dan akan memperluaskan OKA di unit-unit yang bertunggakan di semua kawasan PA, PPR bagi mengesan para penyewa yang culas membayar sewa.

“Jadi kepada penyewa-penyewa yang ada tunggakan bayaran sewa tu dan belum dikenakan tindakan, selesaikan segera bayaran tertunggak tersebut.

“Ramai di luar sana yang menanti bertahun-tahun tapi masih tidak berpeluang untuk mendiami rumah PA, PPR yang diuruskan oleh DBKL.

“Jelaskan tunggakan sebelum tindakan kunci air dikenakan yang pasti akan menimbulkan kesulitan nanti,”katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan