SEBUAH bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang kerana disyaki menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot terbabit ditahan kira-kira jam 1.20 petang di lokasi 23.1 batu nautika dari Tanjung Tembeling, di sini.
Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Makmur dan Op Tiris mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan ketika sedang bergerak menuju ke Kuala Kuantan sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lima kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 36 hingga 44 tahun berada di atas bot terbabit.
“Kita syak bot itu melakukan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, memiliki permit yang meragukan,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Berikutan itu, Kamal Ariffin berkata, bot bersama kru, peralatan dan 80 kilogram hasil tangkapan terdiri gamat serta ikan campur dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway, di sini sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Pengusaha bot pukat tunda diingatkan supaya mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan dan setiap kru warga asing digunakan perlu mendapat kebenaran ketua pengarah agensi itu sebagaimana yang telah ditetapkan,”katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian 09-5717345 atau talian kecemasan MERS 999. – Edisi 9