33.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 27, 2023

Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara baharu

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEGUAM Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September ini.

Pengumuman berkenaan dibuat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Ahmad Terrirudin selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Terrirudin, 55, menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September.

Idrus yang sebelum ini merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020.

Beliau kemudiannya dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 6 Mac 2022 untuk tempoh setahun lagi. Pada 3 Mac lepas, kontrak Idrus sebagai Peguam Negara disambung untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 6 Mac.

Mohd Zuki dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada Idrus atas perkhidmatan sepanjang memegang jawatan Peguam Negara.

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, Ahmad Terrirudin merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022.

Beliau berkahwin dengan Datin Zarina Idris dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Beliau yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hon) dari Universiti Malaya pada 1992 pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 2019 dan sebelum itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian Guaman III, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara pada 2017.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2008 dan 2007.

Ahmad Terrirudin yang memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai undang-undang (kehakiman) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2007 dan sebelum itu beliau adalah pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2003. – BERNAMA

Terkini

Kenaikan harga tiket penerbangan dikhuatiri jejas kehadiran pelancong domestik

PENINGKATAN harga tiket penerbangan walaupun ketika di luar musim perayaan dan cuti persekolahan dikhuatiri menjejaskan industri pelancongan tempatan. Memetik laporan Berita...

Lagi Artikel Berkaitan