PERDANA Menteri memaklumkan kerajaan akan menghulurkan segala bentuk bantuan bagi meringankan beban waris dan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, petang semalam.
Beliau berkata, kerajaan sedia untuk membantu dan sekarang ini, kita berikan bantuan diperlukan untuk pengurusan jenazah.
“Kita juga sedang mengenalpasti bantuan lain yang akan disalurkan kepada waris mangsa terutama ahli keluarga yang tiada pekerjaan tetap.
“Saya mohon keluarga terus bersabar. Tiada siapa yang boleh jangka (kemalangan berlaku). Kerajaan akan bantu untuk ringankan beban waris,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas melawat keluarga mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, fokus utama ketika ini adalah bagi menyegerakan proses forensik dan urusan berkaitan ujian DNA (asid deoksiribonukleik).
Beliau dalam masa sama menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat serta kecekapan mereka mengendalikan operasi kemalangan tersebut.
“Saya ikuti dari semalam (perkembangan kejadian).
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana petugas keselamatan, jabatan agama, jabatan forensik dan beberapa badan kebajikan lain daripada kerajaan bertindak cekap,”katanya.
Hadir sama di HTAR, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam kejadian petang semalam, 10 lelaki disahkan maut apabila pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.
Antara yang turut terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat tersebut dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

