27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Teladani langkah tetangga ASEAN jayakan Ekonomi Madani

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh DR ADILAH A. WAHAB

PADA penghujung Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan Ekonomi Madani sebagai wadah untuk menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Demi mencapai hasrat ini, kerajaan bermatlamat untuk mencapai sasaran muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana.

Perdana Menteri menggariskan kerangka Ekonomi Madani yang membolehkan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 peratusa ke 6.0 peratus dan seterusnya muncul sebagai negara yang tersenarai dalam 30 ekonomi terbesar dunia.

Namun begitu, adakah sasaran untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dunia mampu mengukuhkan mata wang ringgit?

Untuk rekod, ringgit telah mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu 4.6190/AS pada 13 Julai 2023 daripada 4.6500/AS pada 12 Julai 2023.

Baru-baru ini, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada 8 Ogos 4.5860/AS berbanding 4.5815/AS pada 7 Ogos 2023.

Menurut sesetengah pakar ekonomi, ringgit berpotensi untuk menyusut ke paras yang lebih rendah dan ini menunjukkan permintaan luar terhadap barangan Malaysia semakin berkurangan.

Justeru, kerangka Ekonomi Madani yang menyasarkan Malaysia menjadi 30 ekonomi terbesar dunia berkemungkinan dapat mengukuhkan kembali ringgit di pasaran global.

Menurut Bank Dunia, Malaysia berada pada tangga ke-37 ekonomi dunia, dengan nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak USD 406.3 bilion bagi tahun 2022.

Sebagai perbandingan, bagi tahun yang sama, negara jiran Asia Tenggara yang berada dalam 30 ekonomi terbesar dunia adalah Indonesia pada tangga ke-16 (KDNK bernilai USD 1.3 trilion) dan Thailand yang menduduki tangga ke-30 (KDNK bernilai USD 495.3 bilion).

Umum mengetahui sejak tahun 2018, Indonesia dan Thailand mempunyai kadar mata wang yang lebih kukuh berbanding Malaysia (USD/MYR).

Namun begitu, Malaysia menunjukkan arah aliran peningkatan yang sedikit iaitu perubahan kadar mata wang USD/MYR sebanyak -0.36 secara purata untuk tahun 2022.

panorama kuala lumpur
Malaysia berada pada kedudukan ke-37 ekonomi dunia dengan nilai KDNK sebanyak USD 406.3 bilion bagi tahun 2022. – Foto: DBKL

Untuk rekod, kerangka Ekonomi Madani menggariskan tiga strategi utama untuk mencapai sasaran 30 ekonomi terbesar dunia.

Strategi pertama ialah melalui pengintegrasian ekonomi yang mendalam dengan negara luar.

Melalui strategi ini, syarikat-syarikat tempatan mendapat mandat langsung daripada kerajaan untuk lebih aktif dan berdaya saing dengan pasaran rantau ASEAN.

Untuk makluman, strategi seperti ini telah pun diguna pakai oleh Indonesia dan Thailand.

Sebagai contoh, Kerjasama Pembangunan Indonesia-Switzerland 2021–2024 memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi awam melalui penggunaan sumber dan pengukuhan daya saing sektor swasta, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mereka bersinergi untuk meningkatkan kapasiti PKS Indonesia bagi menembusi pasaran eksport khas ke Eropah melalui Switzerland.

Sejajar dengan kerjasama pembangunan tersebut, pada suku pertama 2021, Switzerland berada di kedudukan 10 teratas daripada 38 negara untuk pelaburan langsung asing ke Indonesia.

Di samping itu, nilai pelaburan Switzerland di Indonesia mencecah AS469.5 juta yang melibatkan hampir 200 projek.

Advertisements

Pelaburan langsung ini merupakan sumbangan utama yang menjadikan lebihan imbangan perdagangan Indonesia kepada Switzerland berjumlah AS1.2 bilion.

Melalui lebihan imbangan perdagangan ini, harga pasaran produk Indonesia didapati meningkat.

Justeru, ianya menjadikan produk Indonesia lebih berdaya saing dan seterusnya menguatkan rupiah.

Strategi kedua yang dinyatakan oleh Perdana Menteri adalah mengadakan perhubungan strategik yang melangkaui perjanjian perdagangan bebas, seperti pengaturan strategik yang memudahkan pergerakan barang dan perkongsian teknologi.

Ini kita dapat lihat apabila Thailand mengadakan hubungan strategik dalam Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) China-Thailand yang meliputi Bangkok ke wilayah Nong Khai di bahagian utara Thailand yang akhirnya akan menghubungkan Kunming di barat daya China dengan Singapura.

Menurut perjanjian, projek HSR ini memberi kemudahan pergerakan barang yang cepat dan kos efektif antara China dan Thailand.

Selain itu, China juga telah bersetuju untuk berkongsi teknologi, kemahiran dan pengetahuan mengenai projek HSR.

Melalui pengaturan strategik ini, syarikat tempatan akan lebih berdaya saing dengan negara jiran, seterusnya mengukuhkan ekonomi dan mata wang THB Baht.

Strategi ketiga ialah mengutamakan nilai tambah dalam industri utama.

Pada tahun 2020, Indonesia telah membuat penstrukturan terhadap ekonomi mereka dengan mengutamakan konsep nilai tambah pada aktiviti hiliran yang melibatkan pemprosesan bahan mentah kepada produk siap.

Sebagai contoh, nikel mentah telah diproses kepada produk mewah seperti bateri litium untuk kegunaan kereta elektrik.

Strategi ini adalah konsisten dengan saranan Perdana Menteri untuk merealisasikan Malaysia sebagai 30 ekonomi terbesar dunia.

Beliau menegaskan untuk mengutamakan nilai tambah kepada industri utama seperti elektrik dan elektronik dengan penghasilan reka bentuk litar bersepadu (integrated circuit design) mahupun penghasilan petrokimia dan oleokimia untuk industri kimia.

Justeru, kerangka Ekonomi Madani yang menyasarkan Malaysia menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia merupakan satu kerangka yang dapat mengukuhkan mata wang ringgit.

Sebelum ini Anwar memfokuskan pertumbuhan ekonomi 5.5 ke 6.0 peratus jika Malaysia dapat mencapai sasaran tersebut.

Kini, ia terbukti tiga strategi utama yang di tegaskan di dalam kerangka Ekonomi Madani merupakan strategi yang telah pun diguna pakai oleh dua negara Asia Tenggara yang kini berada di carta 30 ekonomi terbesar dunia iaitu Indonesia dan Thailand.

Oleh yang demikian, demi menjayakan perlaksanaan tiga strategi tersebut penyampaian dan kefahaman mengenai setiap strategi kepada kerajaan, sektor swasta, rakyat dan negara jiran perlu dilakukan dengan jelas dan komprehensif.

Ini kerana kerangka dan strategi Ekonomi Madani merupakan peta perjalanan ekonomi Malaysia yang baharu.

Justeru, kefahaman mengenai tiga strategi ini adalah penting untuk mencapai sasaran yang telah dirangkakan.

Semoga sasaran menjadi 30 ekonomi terbesar di dunia bakal menjadi kenyataan.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan