30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Liga Super: Selangor kenduri gol di Kota Bharu

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah yang diibaratkan nasib Kelantan FC apabila menjadi mangsa belasahan Selangor FC 11-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Masih berbekas luka diaibkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 10-0 minggu lalu, The Red Warriors yang turun dengan dibarisi pemain muda serta seorang pemain import terkulai diratah skuad Gergasi Merah.

Bagaimanapun, aksi di Kota Bharu menyaksikan Kelantan membuat kejutan apabila mendahului perlawanan dengan kelebihan dua gol dalam 14 minit pertama perlawanan.

Gol tuan rumah disumbangkan oleh Natanael Siringo Ringo menerusi sepakan penali pada minit keempat sebelum Fazrul Amir Zaman menggandakan jaringan, 10 minit kemudian.

Selangor FC bagaimanapun bangkit merapatkan jurang menerusi sentuhan Yohandry Orozco pada minit ke-28 dan seterusnya menyamakan kedudukan empat minit berselang menerusi penyudah Shahrul Nazeem Zulpakar.

Pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super, Ayron del Valle meledak dua gol buat Selangor sebelum rehat sekali gus menjadikan kedudukan 4-2 ketika menuju ke bilik persalinan.

Advertisements

Anak buah Tan Cheng Hoe terus garang di babak kedua apabila mencetak tujuh lagi gol.

Richmond Boakye menyumbat gol kelima pada minit ke-48 sebelum pemain kebangsaan, Faisal Halim meledak gol keenam Selangor selepas kembali daripada penggantungan perlawanan selama sebulan.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-53 sebelum del Valle melengkapkan hatrik pada minit ke-63.

Boakye turut melengkapkan hatrik pada malam itu apabila menyumbat dua lagi gol, pada minit ke-78 dan 86.

Del Valle melengkapkan malam gemilang Selangor menerusi gol keempat peribadi sekali gus memastikan Selangor menang besar 11-2 di Kota Bharu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan