“SAYA sangat sedih dan terkilan, semasa dia susah saya bantu, janganlah sampai label pengkhianat,”kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab. Malek.
Ini selepas timbul kenyataan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggelarnya ‘pengkhianat’ susulan tindakannya bertanding di kerusi berkenaan atas tiket Bebas.
Mohamad Rafie berkata, sebagai seorang individu dan warganegara, ia menjadi hak beliau dalam bertanding pilihan raya.
“Saya juga individu yang bertanggungjawab menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) suatu ketika dahulu.
“Tapi kini, Presiden PKR itu yang juga Perdana Menteri seolah-olah menidakkan hak saya sebagai warganegara untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Memang saya sedih, semasa dia susah saya bantu, (tetapi) sekarang dia senang.
“Maknanya dalam keadaan kehidupan saya selesa semasa itu, saya membantu dengan apa yang ada pada saya termasuk keseluruhan tenaga dan wang ringgit.
“Sebab itu, saya antara pengasas yang masih ada, ramai yang sudah tidak ada dan keluar parti pun,”katanya dalam sidang media hari ini.
Sungguhpun dilabel, Mohamad Rafie enggan bermusuhan dengan pihak-pihak berkenaan dan percaya rakyat bijak menilai berdasarkan rekodnya sebelum ini.
“Saya tak nak berbalah atau berhasrat ‘melondehkan’ (buka aib) dan kita lalui proses pilihan raya ini dengan beradab.
“Saya juga telah menghantar pesanan menerusi WhatsApp pagi tadi kepada Anwar dan menyatakan dengan pengisytiharan tersebut, beliau secara tidak langsung hendak memutuskan hubungan silaturahim bersama saya,”katanya yang juga penyandang kerusi DUN Ampangan.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti akan menghukum ahli yang mengkhianati perjuangan parti menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Katanya, perbuatan mereka yang terlibat itu tidak akan diampunkan selain mengaitkan tindakan pengkhianatan parti dengan sejarah budaya Melayu, Raja Mendeliar dan Si Kitol.
Beliau memberikan contoh dua kerusi iaitu DUN Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi Mohamad Rafie dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
PRN Negeri Sembilan Sabtu ini menyaksikan DUN Ampangan antara kerusi panas selepas Mohamad Rafie selaku penyandangnya daripada PKR bertanding sebagai calon Bebas.
Beliau bakal menentang Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin mewakili Perikatan Nasional (PN). – Edisi 9

